KEMAMAN (3 Januari 2014) - Sempena tahun baharu, kerajaan negeri Terengganu berazam untuk melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk menarik lebih banyak pelaburan untuk mencapai matlamat muncul sebagai negeri maju menjelang tahun 2020.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu perlu bergerak lebih pantas kerana sudah terlalu jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
"Ini kerana kita (Barisan Nasional) telah kalah kepada pembangkang dalam pilihan raya umum seperti 1999-2004, di mana tiada pembangunan di negeri ini.
"Ini merugikan kita apabila perbelanjaan semakin besar untuk mengejar pembangunan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis pengagihan Dana Khas Remaja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Kemaman, semalam.
Ahmad Said berkata kedatangan pelaburan yang banyak akan membangkitkan semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi kerana ia akan memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.
Mengenai pengagihan Dana Khas Remaja, Menteri Besar berkata walaupun kadang kala kerajaan menerima tentangan daripada kalangan belia, namun dana itu tetap diagihkan untuk membantu mereka.
"Dengan adanya kerajaan Barisan Nasional, mereka semua akan merasai nikmat. Kita bukan bagi dana untuk remaja saja, malah pelbagai dana dan bantuan lain kita hulurkan kepada rakyat, tetapi kalau orang lain berkuasa, ini semua belum tentu dapat," katanya.
Menteri Besar sedih melihat anak-anak muda yang berdemonstrasi di jalanan kerana ia memburukkan imej negara kerana memberi gambaran seolah-olah negara ini tidak stabil dari segi politik.
"Ini akan menyebabkan pelabur asing tertanya-tanya adakah mereka akan selamat jika melabur di negara ini...pelabur tak datang, orang lain tidak kisah sebab mereka dah kaya, kita orang Melayu yang rugi," katanya.
Pada majlis itu seramai 500 belia di DUN Kijal menerima dana berkenaan sebanyak RM200 seorang.
No comments:
Post a Comment