Wednesday, February 12, 2014

Ahmad Said Tagih Janji Pemain Bawa Pulang Satu Piala Ke Terengganu


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menagih janji daripada kedua-dua pasukan bola sepak negeri itu untuk membawa pulang satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Katanya sekalipun sudah tersingkir daripada saingan Piala FA, pasukan Terengganu dan T-Team masih berpeluang merebut kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Saya harap semua pemain bangkit dan mampu meneruskan misi Terengganu memburu satu piala untuk dihadiahkan kepada penyokong," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan dakwaan pergaduhan membabitkan T-Team dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertembungan di Stadium Larkin, minggu lepas.

Susulan kejadian itu, Ahmad meminta pemain dan pegawai T-Team yang beragama Islam bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan kebenaran kenyataan mereka berhubung insiden pemain import T-Team ditumbuk di dalam terowong pemain di stadium tersebut.

Malam kelmarin, pemain pasukan itu Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar menyahut saranan Ahmad Said.

Mengulas tindakan kedua-duanya, Ahmad berkata beliau terharu kerana sebagai orang Islam kedua-dua mereka tahu risiko bersumpah dengan al-Quran jika mereka berbohong.

"Soal itu (siapa pelaku) tidak penting kerana apa yang penting ialah kejadian tumbuk itu benar-benar berlaku. Itu yang penting," katanya.

No comments:

Post a Comment