Tuesday, February 11, 2014

Bersumpah Al-Quran Menegakkan Maruah, Harga Diri & Pasukan T-Team



"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia (Muhd Irfan) untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan." 
 - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU (11 Februari 20114) - Seorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team malam tadi bersumpah dengan Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas.

Upacara itu dilakukan dalam majlis khas di Hotel Tabung Haji (TH) &Convention Center di Gong Badak pada kira-kira 10 malam semalam sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata majlis mengangkat sumpah itu bagi membuktikan kebenaran insiden tersebut dan meminta para pemain dan pegawai yang menyaksikan kejadian tempoh hari itu agar tidak berbohong.

Bagaimanapun kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.

Ditemui oleh Bernama selepas majlis itu, Menteri Besar mencabar Irfan tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.

"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," katanya.

Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.

Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan.

Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya dan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Februari.

Ahmad Said nyata berbangga dengan kedua-dua individu itu yang tampil bersumpah kerana menurutnya ini jelas membuktikan mereka jujur.

Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata di Nusajaya Johor Bahru semalam, tiada keperluan bagi pasukan JDT untuk mengangkat sumpah dengan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin awal bulan ini.

Katanya, sebaliknya pasukan itu akan terus mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang tidak berat sebelah.

"Masalah yang berada di dalam (terowong), mungkin kita perlu tunggu siasatan polis dan kita perlu yakin dengan pihak berkuasa yang mana keputusan yang akan dicapai kelak tidak akan memberi 'bias' kepada mana-mana pasukan," katanya.

Beliau diminta mengulas saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said agar pemain T-Team dan JDT bersumpah tentang kejadian tersebut.

Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan kemenangan kepada JDT dianggap adil kerana ia mengikut peraturan yang termaktub.

Sebaliknya, Ahmad Said yang amat kecewa dengan keputusan FAM itu baru-baru ini mahu mendapatkan penjelasan sebenar daripada pengurusan dan pemain T-Team yang menyaksikan insiden itu dengan meminta mereka bersumpah al-Quran di hadapannya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua pusingan kedua Piala FA.


T-Team yang ketinggalan 2-1 enggan meneruskan perlawanan kerana bimbangkan soal keselamatan selepas pemain import pasukan itu Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikatakan dikasari oleh pegawai pengurusan tertinggi JDT di dalam terowong ke bilik persalinan pasukan.

Upacara bersumpah di Kuala Terengganu semalam didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada 7 Februari lalu, Ahmad Said, menyatakan kekecewaannya dengan keputusan FAM yang tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang JDT minggu lalu.

Menteri Besar menyatakan kekecewaannya itu ketika  melawat Kampung Pelandan, Hulu Terengganu pada  Jumaat, 7 Februari 2014.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan penjelasan sebenar dan akan minta pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan beliau, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."

"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.

"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya. Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak jawatankuasa FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira FAM.

"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada PBSNT dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.

No comments:

Post a Comment