Gambar hiasan...antara Cenderawasih yang di kepulauan Papua. |
Burung Cenderawasih yang sukar ditemui di negara ini kini menjadi tarikan baharu Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman
Pengarah Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman Abdul Halim Mamat berkata dua ekor burung Cenderawasih jantan itu dipinjam dari Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Sungkai, Perak.
"Burung yang berasal dari kepulauan Papua ini ditempatkan di mini zoo ini sejak pertengahan Januari lalu dan orang ramai kini boleh datang untuk melihat kecantikan burung ini.
"Difahamkan Mini Zoo Kemaman merupakan satu-satunya zoo yang ada spesies burung ini. Kita menyasarkan jumlah pengunjung akan meningkat 30 peratus dengan adanya tarikan baharu ini," katanya kepada ketika ditemui sempena Lawatan Media ke Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Kemaman, semalam.
Katanya tahun lepas zoo ini menerima 72,661 pengunjung.
Burung Cenderawasih terkenal dengan mitos burung dari kayangan dan dipercayai mujarab untuk menyembuhkan pelbagai penyakit serta digunakan dalam perubatan tradisional.Bangkai burung itu mencecah harga ratusan ribu ringgit seekor.
Lawatan anjuran Unit Komunikasi (UKOM) Terengganu tersebut disertai kira-kira 50 pengamal media seluruh Terengganu antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Utusan Malaysia, Sin Chew Jit Poh DAN Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Abdul Halim berkata satu lagi tarikan baharu di zoo ini adalah 'River Cruise' sambil menyaksikan kunang-kunang di sepanjang Sungai Yak Yah yang akan bermula Mac ini.
"River Cruise ini akan beroperasi pada setiap malam kecuali hari Khamis malam Jumaat bermula pukul 8 malam hingga 10 malam dan akan memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung yang mana mereka boleh menikmati keindahan malam dengan kehadiran kunang-kunang secara semulajadi," katanya.
Sementara itu pembantu jurukamera RTM, Nor Azryq Pauzee berkata beliau sangat teruja kerana kali pertama berpeluang melihat burung Cenderawasih.
"Memang burung ini sangat cantik...secara keseluruhan zoo ini memang sangat menarik dengan binatang yang ada seperti gajah serta Orang Utan yang telah dilatih dan mereka sangat mesra dengan pengunjung...tak rugi datang ke sini," katanya.
No comments:
Post a Comment