Monday, February 3, 2014

Desak Bina Segera Rumah Di Felda Belara


Peneroka di Felda Belara mendesak pihak berwajib agar menyegerakan projek perumahan untuk generasi kedua Felda seperti mana dijanjikan.

Ini kerana, setelah hampir empat bulan menanti, belum ada sebarang tanda pembinaan akan dimulakan, meskipun sebelum ini pihak yang berkenaan menjanjikan ia akan dibina secepat mungkin.

Ketuanya, Mohamad Zain Embong berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada peneroka terutamanya generasi kedua yang begitu mengharapkan untuk mendapatkan kediaman sendiri.



“November lalu pihak berkenaan ada datang ukur kawasan untuk bina perumahan, di mana sebelum ini ia merupakan tapak pertanian, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Akibat tiada kediaman peneroka di sini terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah kecil dengan tiga hingga empat keluarga lain dan keadaan itu memang tidak selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui mengiring Timbalan Ketua Bahagian Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail yang melawat tapak berkenaan, di Felda berkenaan.

Menurutnya, masalah penempatan untuk generasi kedua Felda adalah isu hangat diperkatakan penduduk yang sememangnya mengharapkan agar projek berkenaan disegerakan. “Saya harap agar pihak berkenaan lebih serius menyelesaikan masalah ini.

“Malah, sehingga kini sudah dua kali senarai nama pemohon dihantar kepada pihak berkenaan,” katanya. 

Katanya, mereka dimaklumkan, sebanyak 100 unit rumah untuk generasi kedua akan dibina bagi fasa pertama bagi menampung jumlah penghuni di kawasan tanah rancangan ini.

Beliau berkata, tanah rancangan yang terletak di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu itu menempatkan seramai 208 peneroka.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment