Tuesday, February 11, 2014

Kebakaran Hutan: Masih Ada Sehektar Belum Dipadamkan - Bomba

Kejadian kebakaran hutan paya bakau di Kampung Tok Kah di sini sudah hampir dikawal sepenuhnya dengan hanya kira-kira sehektar kawasan masih terbakar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata pihaknya menjangka kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu lagi jika keadaan cuaca mengizinkan.

Kebakaran yang berlaku sejak 26 Jan lepas itu membabitkan kawasan seluas 17 hektar dan kita berjaya memadamkan api di kawasan seluas 16 hektar, katanya.

Rozizah juga memberi jaminan kebakaran itu tidak akan merebak ke kawasan penempatan penduduk.
Menurutnya tugas mengawal kebakaran itu dipikul oleh 46 anggota bomba dari seluruh negeri dan dibantu oleh 14 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Dungun dan Kemaman.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka selain mengawal api ketika melakukan pembakaran.

Ini kerana katanya keadaan cuaca kering dan berangin sekarang ini boleh menyebabkan pembakaran kecil mudah marak dan merebak ke kawasan lain.

Kebakaran hutan paya bakau itu turut menyebabkan kawasan Rantau Abang yang terletak 13 kilometer dari lokasi kebakaran, diselubungi asap tebal.

No comments:

Post a Comment