Friday, February 14, 2014

Pelumba Negara Berpeluang Raih Kemenangan Pada LTdL 2014


Pelumba negara dijangka mampu mencuri tumpuan meraih kemenangan peringkat pada edisi ke-19 jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata laluan perlumbaan kali ini memungkinkan pelumba negara mengutip mata dan mengintai kemenangan peringkat.

Katanya, penampilan pelumba berpengalaman seperti Mohd Adiq Husaini Othman, Mohd Saufi Mat Senan dan Anuar Manan dari Terengganu Cycling Team (TSG) dilihat antara yang akan memberi saingan sengit kepada pelumba ternama pasukan lain.

"Setakat ini pasukan kebangsaan Malaysia belum mengumumkan barisan pelumba mereka. Saya telah bertemu dengan pasukan TSG dan melihat mereka sangat bermotivasi untuk meraih kemenangan.

"Kita ada 12 pelumba negara pada LTdL tahun ini. Kalau betul strategi dan taktik, mereka boleh bergabung untuk dapatkan kejayaan.

Ini adalah peluang kepada Malaysia untuk membuktikan sesuatu," katanya kepada pemberita selepas menerima penajaan Jersi Merah dari Resort World Berhad. Emir berkata 20 saingan pendakian sepanjang laluan edisi kali ini turut membuka peluang pelumba negara meraih mata selain menawan puncak Genting Highlands pada kedudukan lebih baik di garisan penamat.

Mengenai saingan merebut gelaran Raja Bukit, Emir berkata beberapa pakar pendakian mahu memburu gelaran itu, antaranya Peter Weening (Orica-GreenEdge), Alexandr Dyachenko (Astana), Natnael Berhane (Europcar), Fabio Duarte (Team Colombia), Emmanuele Sella (Androni-Venezuela), Louis Meintjes (MTN-Qhubeka) dan Mirsamad Pourseyedigolakhour (Tabriz).

"Pencabar untuk King of Mountain sangat ramai kali ini, malah setiap pasukan luar bukan hanya menghantar climbers tapi super climbers. Pendakian Genting Highlands juga menjadi tumpuan dan bualan para pelumba terkemuka dunia," katanya.

sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Korporat Genting Malaysia Datuk Kay Prakash berkata beliau berbangga apabila puncak Genting Highlands menjadi peringkat utama perlumbaan berprestij itu (Queen Stage) dan turut menjadi kegerunan pelumba dari luar negara.

"Ia satu yang amat membanggakan apabila Genting menjadi bualan pelumba serta melahirkan pelumba bertaraf profesional selepas menawan puncaknya," katanya.

Juara edisi 2013 dari pasukan benua Nippo-De Rosa, Julian Arredondo dari Colombia mengesahkan LTdL dan puncak Genting Highlands adalah peringkat melahirkan juara. Beliau kini telah berpindah dari pasukan benua Jepun itu ke pasukan World Tour Trek Factory Racing sebagai pelumba profesional.

No comments:

Post a Comment