Monday, February 17, 2014

Sani United Bhd Sasar Kumpul Aset RM1b


Sani United Bhd, menyasar mengumpul aset keseluruhan kumpulan bernilai RM1 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sani Salleh, berkata syarikat yang kini memiliki aset keseluruhan bernilai RM300 juta optimis mencapai sasaran itu bersandarkan keupayaan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk yang terbaru iaitu perkhidmatan perkapalan.

Beliau berkata, langkah syarikat memperluaskan portfolio perniagaan, selain turut mengembangkan operasinya sebagai syarikat Bumiputera jelas menunjukkan ia serius untuk menambah pendapatan.

Katanya, antara yang bakal menyokong sasaran syarikat, termasuk peluasan perkhidmatan sektor perhotelan menerusi rancangan mewujudkan tiga rangkaian hotel Sani masing-masing di Kelantan, Terengganu dan Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.


“Banyak elemen yang akan memacu sasaran kami termasuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan bas ekspres, menambah cawangan hotel serta memperluaskan perkhidmatan untuk sektor minyak dan gas (O&G),” katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pembelian kapal bersama Strategic Marine Pte Ltd di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Eksekutif Kumpulan Sani United, Yusri Romli dan Pengarah Eksekutif Strategic Marine, Ron F Anderson, turut hadir.

Antara aset yang dimiliki Sani United ketika ini menerusi sembilan anak syarikatnya termasuk 35 unit bas dua tingkat dalam Sani Express Sdn Bhd, sebuah hotel di Kuala Lumpur (Sani Hotel Sdn Bhd), kelengkapan perkhidmatan servis kenderaan berteknologi tinggi (Sani Engeneering Sdn Bhd) dan 10 unit kapal yang baru dibeli daripada Strategic Marine.

Sani berkata, syarikat turut menetapkan sasaran untuk mencapai pendapatan terkumpul RM100 juta dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Tahun lalu, pendapatan terkumpul Sani United direkodkan melebihi RM50 juta dengan Sani Express menyumbang lebih 60 peratus kepada perolehan syarikat, diikuti Sani Hotel (30 peratus) dan bakinya daripada anak syarikat lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment