Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu anggaran kasar kos yang akan dibelanjakan bagi melaksana PRK Dun Kajang adalah sekitar RM2 juta.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mungkin kos tersebut lebih daripada anggaran kerana jumlah tersebut hanya melibatkan pihak SPR sahaja, bukan jabatan-jabatan lain yang turut terlibat.
“PRK akan belanjakan wang yang banyak. Bukan sahaja PRK Dun Kajang, tetapi PRK lain juga menggunakan kos lebih kurang RM2 juta dan mungkin lebih.
“Namun, PRK lain kebanyakannya diadakan disebabkan kematian. Tetapi yang ini tidak sampai setahun Adunnya sudah letak jawatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perbelanjaan yang akan digunakan untuk mengadakan PRK di Dun Kajang setelah Adun kawasan itu dari PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan.
Pada masa yang sama, ditanya adakah PRK Dun Kajang ini dilihat sebagai satu pembaziran, Abdul Aziz berkata, SPR tidak pasti, namun beliau menegaskan setiap PRK sememangnya menelan belanja yang tinggi.
"Wallahuaklam, yang pastinya, setiap PRK memang memakan kos yang besar,” katanya.
Katanya, SPR belum menentukan tarikh sesuai untuk mengadakan PRK tersebut kerana akan di bawa berbincang terlebih dahulu dalam mesyuarat khas pada 5 Februari akan datang.
“Tunggu selepas daripada mesyuarat itu, kami akan buat sidang media untuk umumkan tarikh sesuai diadakan PRK Dun Kajang,” katanya.
No comments:
Post a Comment