Saturday, March 8, 2014
LTdL 2014 - Bila Lagi Anak Tempatan Akan Naik Podium Kalau Bukan Hari Ini?
Hari ini adalah kemuncak Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014. Laluan terkakhir
akan berlangsung dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu sejauh 103.1 kilometer tanpa zon pendakian tetapi terdapat tiga zon pecutan di Padang Air dan pusingan kedua dan keempat (loop) di Kuala Terengganu.
Apakah ada pelumba anak negeri akan berupaya menaiki podium selepas sembilan laluan gagal menampilkan sebarang anak Terengganu melakukannya?
Persoalan juga ialah apakah pelumba Belkin-Pro Cycling Team, Theo Bos akan sekali lagi mengulangi kecemerlangannya?
Semalam pelumba Terengganu dari Pro-Asia Cycling Team (TSG) Mohd. Saufi Mat Senan muncul sebagai pelumba Asia terbaik peringkat kesembilan dengan catatan masa dua jam 32 minit dan 21 saat.
Ini sekali gus mengatasi Mirsamad Pourseyedigolakhour yang merupakan pemegang Jersi Kuning dan Putih dalam senarai keseluruhan.
Mohd Saufi berkata kurang 'power' untuk membuat henjutan di saat akhir menyebabkan pelumba beliau terlepas peluang mendapatkan tempat lebih baik di halaman sendiri.
Pelumba berusia 23 tahun itu yang cuba mencuri peluang mengakui agak kepenatan kerana banyak melakukan tugas untuk menarik dua orang pelumba pecut iaitu Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh ke ruang hadapan.
"Pada tiga kilometer terakhir, ada kumpulan telah jatuh dan menyebabkan Harrif dan Anuar tersangkut. Saya cuba untuk memecut tapi tidak ada power.
"Hajat memang hendak buat kejutan, tapi saya banyak guna tenaga untuk menarik Harrif dan Anuar, saya jadi letih sangat," katanya.
Pada perlumbaan peringkat kesembilan semalam (Jumaat), Mohd Saufi menamatkan perlumbaan sejauh 111.1 km di tempat ke-13.
Semalam Theo Bos berjaya muncul juara buat kali keempat pada peringkat kesembilan dari Bandar Permaisuri ke Kuala Terengganu yang meliputi laluan sejauh 111.1 kilometer (km).
Bos sebelum ini mencatat kemenangan peringkat buat kali ketiga berturut-turut.
Walaupun bermula agak perlahan pada peringkat pertama di Langkawi, dia berjaya melakukan henjutan yang berbisa ketika memasuki peringkat kedua (Sungai Petani-Taiping) dan terus garang pada peringkat ketujuh (Kota tinggi-Pekan) serta kelapan (Kuantan-Marang) sebelum melepasi garisan penamat di Kuala Terengganu semalam.
Bos mudah untuk muncul juara dengan catatan masa dua jam 32 minit dan 21 saat. “Pasukan saya terutamanya Brown (Graeme Brown) melakukan tugasan dengan sempurna.
Taktikal dan kesefahaman dalam usaha membuka laluan kepada saya untuk melakukan pecutan menuju ke garisan penamat sangat cemerlang. Mereka memudahkan kerja saya.
“Seperti hari ini (semalam), laluan di selekoh terakhir sangat mencabar tetapi ia tidak memberikan masalah besar kepada saya kerana berada di posisi yang betul hasil bantuan rakan sepasukan.
Kami berada di hadapan sejak awal perlumbaan dan sepanjang saingan, terdapat beberapa pelumba yang cuba melepasi saya.
“Bagaimanapun, semuanya berjalan dengan baik termasuk pemecahan yang dilakukan. Cuma zon pecutan sangat sukar dan sebelum itu saya ada melihat Guardini (Andrea) cuba melepasi saya tetapi tidak berjaya,” kata pakar pecut dari Belanda itu.
Ketika ditanya kenapa dia tidak mengangkat tangan setiap kali melepasi garisan penamat, Bos berkata, dia terlalu letih untuk melakukannya.
“Sangat meletihkan terutamanya berlumba dalam keadaan cuaca yang panas terik. Bagaimanapun, cuaca hari ini (semalam) agak baik,” kata juara dunia sebanyak lima kali itu.
Selepas menamatkan peringkat kesembilan pada Jumaat, TSG berada di tangga ke-18 keseluruhan dan keenam terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 99 jam 21 minit dan 44 saat.
Sementara itu jurulatih pasukan kebangsaan Aminuddin Sulaiman terpaksa berpuas hati berada di tangga keempat keseluruhan pasukan terbaik Asia berbanding sasaran tempat ketiga.
Bagaimanapun beliau gembira dengan kesungguhan dan keyakinan yang ditunjukkan anak buahnya seperti Mohd Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohd Nor Rizuan Zainal yang cuba membuat pemecahan pada kedudukan 10km terakhir.
"Race seperti ini agak besar dan apa yang penting para pelumba perlu berani mencuba untuk buat breakaway. Lepas atau tidak, cuba saja. Menang itu adalah nasib sebab sprinter yang bagus pun belum tentu boleh menang," katanya.
Pasukan Malaysia berada di tangga ke-15 keseluruhan dan kelima terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 99'12:15s.
No comments:
Post a Comment