Tuesday, March 25, 2014

Masih Ada Keyakinan Bahawa Penumpang, Anak Kapal MH370 Masih Selamat…



KUALA LUMPUR (25 Mac 2014) - Pegawai kerajaan malam ini bermesyuarat dengan wakil United States Pacific Command (USPACOM), sebuah badan ketenteraan bertanggungjawab bagi kawasan Lautan Pasifik.

Tujuannya ialah memastikan sama ada serpihan yang dikesan dari pesawat MH370 hasil imej satelit yang dikeluarkan dari Australia, China dan Peranci.

Selepas disahkan, barulah usaha mencari kotak hitam dijalankan. “ Itu cara kita, bekerjasama, sahkan petunjuk dan maklumat setiap yang ada," demikian ditegaskan oleh pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Apakah ini menggambarkan ada sedikit harapan bahawa pesawat MH370 sebenarnya ‘masih selamat’ dan imej yang dikatakan daripada serpihan pesawat itu sebenarnya bukan imej serpihan pesawat MAS?

Pada ketika Penerbangan Malaysia (MAS) membuat kesimpulan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370 terkorban, masih ada yang menaruh keyakinan bahawa pesawat MAS itu sebenarnya berada di suatu lokasi yang tidak diketahui.

MAS  ‘percaya 100 peratus’ apabila menerima maklumat yang diberikan kepada mereka oleh Kerajaan mengenai nahas itu.

Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Md Yusof berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin iaitu hari ke-17 pesawat itu hilang yang membawa kepada kesimpulan itu.

"Beliau (Najib ) telah memberikan petunjuk yang boleh dipercayai yang menunjukkan di mana pesawat itu berakhir... kedudukan yang sangat jauh, sangat jauh... dan selepas 17 hari, kami hanya boleh membawa kepada kesimpulan yang pasti ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sebaliknya, masih ramai yang menaruh harapan bahawa selagi bukti nyata, termasuk kotak hitam dan serpihan tidak ditemui, selagi itu mereka meletakkan harapan tinggi bahawa pesawat itu sebenarnya tidak terjunam atau meletup di Lautan Hindi.

China misalnya menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang ada selepas Najib membuat pengumuman bahawa pesawat MH370 telah mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi berdasarkan data dari satelit.


Dalam mesyuarat pada lewat malam Isnin, Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng telah memberitahu Kedutaan Malaysia di China untuk menyediakan bukti terperinci mengenai 'kesimpulan' yang dibuat, kata Kementerian Hal Ehwal Luar China.

"Kami telah meminta pihak Malaysia untuk menyatakan bukti terperinci mengenai pengumuman yang telah dibuat dengan menyediakan kesemua maklumat satelit data yang diperolehi.

Kerja mencari dan menyelamat tidak boleh dihentikan sekarang, kami meminta Malaysia meneruskan segala usaha menyelamat yang telah dimulakan," kata Xie pada Selasa.

Pada masa sama, agensi berita di China melaporkan negara tersebut kini telah menghantar lebih banyak kapal ke Lautan Hindi untuk mengesan serpihan pesawat tersebut. Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu yang berakhir di selatan Lautan Hindi mendapat reaksi berbeza daripada keluarga serta waris mereka.

Rata-rata mereka sukar menerima berita sedih itu dan percaya selagi tiada bukti kukuh ditemui seperti serpihan pesawat, anggota keluarga pesawat malang itu masih menaruh harapan agar orang yang mereka sayangi selamat.


Namun begitu sebahagian lagi tetap reda dan menerima kesudahan pencarian selama 17 hari, sejak pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac sebagai ketentuan Ilahi.

Ramai keluarga penumpang sama ada di China, mahu pun Malaysia, belum dapat menerima ketentuan yang diumumkan Perdana Menteri, sebaliknya tetap mempunyai harapan mereka yang tersayanh itu akan pulang.

Tan Tuan Lay, 53, ibu kepada seorang penumpang dari Alor Setar, iaitu Chew Kar Mooi, 31, berkata dia sekeluarga terkejut selepas mendengar pengumuman itu.

Ibu kepada pegawai Maybank di Kuala Lumpur itu berkata selagi tidak menemui sebarang bukti yang sahih beliau sekeluarga masih menaruh harapan anaknya akan pulang ke sisi keluarga.

"Tak ada penemuan objek yang berkaitan dengan pesawat. Ia daripada imej satelit sahaja. Kami masih menaruh harapan untuk jumpa dia (Chew) dengan selamat," katanya.

Abang kepada seorang lagi penumpang, Andrew Jee, 42, berkata di Jitra, keluarganya tidak akan ke Kuala Lumpur dan akan menunggu di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra sehingga maklumat tepat diterima.

Andrew berkata jika anggota keluarganya diminta ke Australia, hanya ibunya Tan Giat Gua, 68, yang diiringi seorang bapa saudaranya ke negara itu.

Ibu mentua kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay menganggap menantunya itu masih hidup dan akan pulang dengan selamat selagi bangkai pesawat itu belum ditemui.

Pong Sai Mooi, 73, berkata berharap berita yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi tiada kaitan dengan pesawat terbabit.

"Selagi tak jumpa bangkai kapal terbang itu saya anggap dia (Goh) masih hidup. Saya sentiasa berdoa pada Tuhan dia akan pulang dengan selamat," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di Ipoh.


Ibu kepada pengurus pengeluaran Syarikat Freescale Semiconductor di Petaling Jaya, Muzi Yusop, hanya mampu mengungkapkan perkataan 'reda' berhubung tragedi itu.

Biarpun tiada lagi air mata yang mampu dititiskan, namun Semah Sidik, 70, menerima berita semalam dengan tenang dan menganggap ia sudah ditentukan Ilahi.

"Kita reda aja lah. Walaupun malam tadi masa nak dengar pengumuman itu, saya dan suami berdebar-debar namun apa yang mampu kami lakukan, hanya reda dan terima ketentuan-Nya," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom, Kuala Langat  hari ini.

Muzi, 50, adalah antara 227 penumpang penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas dan beliau ke negara itu untuk mengikuti kursus selama sebulan.

Sementara itu, bapa seorang lagi penumpang pesawat itu, G Subramaniam, 60, berkata beliau tidak akan ke Australia sekiranya ada cadangan dari mana-mana pihak untuk berbuat demikian melainkan dapat melihat anaknya di sana.

Normah Jaafar, ibu kepada seorang daripada penumpang pesawat itu, Khairul Amri Selamat masih terngiang-ngiang kata-kata anaknya: "Mama, adik nak pegi dulu," sebelum menaiki pesawat malang itu. "Kak Nor masih ralat dengan kata-kata adik itu, biasanya kami berborak lama, sekurang-kurangnya satu jam sebelum dia pergi ke mana-mana tetapi hari itu (8 Mac) lain sangat.

Khairul Amri, 29, jurutera penerbangan, menaiki pesawat itu ke Beijing untuk menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Normah juga sudah bersedia sekiranya diarahkan oleh pihak MAS ke lokasi pesawat terhempas.

"Kak Nor berharap sangat dapat pergi ke lokasi kapal terbang terhempas, Kak Nor sedang menunggu panggilan daripada MAS selepas semua proses mengesan oleh pihak berkuasa selesai," katanya di Bera, Pahang.

Di sebalik semua harapan itu, MAS begitu pasti kesemua penumpang dan anak kapal MH370 tiada yang selamat sambil menafikan hawa syarikat penerbangan itu menangguhkan maklumat untuk dikeluarkan kepada umum.

Beliau menambah ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan tersebut. Pada sidang media harian berkaitan MH370 di Kuala Lumpur hari ini


Hishamuddin berkata sejak MH370 hilang selepas terputus komunikasi dengan menara kawalan, program ping automatik kepada satelit Inmarsat menjadi satu-satunya petunjuk kepada kedudukan terakhirnya.

Hasil daripada data itu, pihak berkuasa mendedahkan bahawa pesawat itu akhirnya menjalankan “log keluar” daripada jaringan satelit pada 9.15 pagi – konsisten dengan had minyak pesawat.

“Tiada maklum balas diterima daripada pesawat pada 0115 (9.15 pagi), apabila stesen bumi menghantar mesej log masuk/log keluar. Ini menandakan pesawat itu tidak lagi log pada jaringan.

“Justeru itu, pada suatu masa antara 0011 UTC (8.11 pagi) dan 0115 UTC (9.15 pagi), pesawat itu tidak lagi mampu berkomunikasi dengan stesen bumi. Perkara itu konsisten dengan masa penerbangan maksimum pesawat,” katanya.

Hishammuddin kemudian mengulangi pendirian kerajaan bahawa tumpuan pasukan mencari adalah mengenal pasti serpihan dan menemui pesawat yang hilang itu.

Mengenai operasi mencari, Hishammuddin berkata beliau optimis ia akan diteruskan walaupun berdepan cabaran seperti gangguan cuaca selain teknikal, diplomatik dan logistik dalam menjayakannya.

"Walaupun lokasi jauh dari daratan dan mencabar, saya optimis, selagi ada harapan, saya masih berharap terhadap semua harapan manakala operasi pencarian dan pemulihan akan diteruskan," katanya.

1 comment:

  1. Selepas 40 hari berada di dalam bakaran api yang di sediakan Namrud dan sekutunya, Allah selamatkan Ibrahim AS kesan dari doa yang tidak henti-henti. Setelah 40 hari berada di dalam perut ikan Nun, Allah selamatkan Yunus AS berkat doa yang berterusan beliau (nabi yunus), maka hari ini Allah yang sama yang telah membantu para hambanya itu akan sedia mendengar rayuan dan luahan rasa kita dan insyaAllah akan menurunkan nusrahnya yang sama, insyaAllah.

    ReplyDelete