Saturday, March 8, 2014

Pasar Malam Di Terengganu Akan Dipantau Lebih Kerap

Kerajaan negeri Terengganu mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan memantau semua aktiviti pasar malam dengan lebih kerap agar peniaga lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Terengganu, Muhammad Pehimi Yusof berkata pemantauan perlu dilakukan secara berterusan tanpa perlu menunggu kes membabitkan kesihatan awam, seperti keracunan makanan yang berlaku minggu lalu.

"Pemantauan ini secara tidak langsung akan meningkatkan semula keyakinan orang ramai terhadap keselamatan makanan yang dijual di pasar malam.

"Ini kerana, ramai peniaga yang saya temui mengadu jualan mereka jatuh merudum kerana kes keracunan makanan itu yang menyebabkan orang ramai bimbang untuk membeli makanan di pasar malam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di pasar malam Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu, Rabu malam.

Sebanyak 24 notis kesalahan dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terhadap peniaga termasuk kesalahan tidak mempamerkan kad kesihatan, lesen perniagaan tamat tempoh, tidak memakai apron dan penutup kepala serta kebersihan yang kurang memuaskan

 Operasi itu diadakan serentak di empat pasar malam daripada 22 lokasi yang ada, bertujuan memberi pendidikan kesihatan dan pengendalian makanan kepada peniaga serta mengedarkan risalah panduan kebersihan makanan kepada orang ramai. Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme meninggal dunia akibat keracunan makanan setelah menikmati ayam goreng yang dibeli dari pasar malam.

Jabatan Kesihatan mengesahkan kematiannya berpunca akibat bakteria Salmonella. Sebanyak 141 turut keracunan disahkan setelah memakan selain ayam goreng, nasi goreng, kuetiau goreng dan mi goreng dari dua pasar malam.

No comments:

Post a Comment