Penderitaan dua kanak-kanak malang yang menghidap penyakit kronik mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.
Noor Aisyah Athirah Khairul Anuar, 5, menderita penyakit jantung berlubang sejak lahir dan adiknya Ahmad Haikal, 2, menghidap penyakit usus, nyata ceria ketika dikunjungi Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus itu kelmarin.
Aisyah hanya seberat tujuh kilogram manakala Ahmad Haikal 3.3 kilogram iaitu menyamai berat bayi baru lahir.
Ahmad Razif, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata beliau membantu mendapatkan bantuan Tabung Pesakit kronik (TBK) bagi rawatan dua beradik itu.
"Kerajaan negeri akan cuba menyalurkan bantuan kepada keluarga ini mengikut keperluan semasa mereka terutama dari aspek perubatan dan pendidikan.
"Malah, keluarga ini juga akan kita ambil sebagai keluarga angkat yang perlu dipantau kebajikan mereka oleh pejabat penyelaras DUN," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di Kampung Teluk Pasu dekat Seberang Takir.
Bapa kanak-kanak itu, Khairul Anuar Muhamad, 35, berkata dia memerlukan sekurangnya-kurangnya RM600 sebulan untuk perbelanjaan susu khas mereka, namun pendapatan sebagai pemandu lori sekitar RM700 selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM700 sebulan.
"Dengan gaji itulah saya terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan dan untuk perbelanjaan harian kami lima beranak termasuk makanan, lampin pakai buang dan barangan lain...isteri saya Che Khatijah Ali tidak boleh bekerja kerana dia menghidap anemia," katanya.
Che Khatijah, 28, pula amat runsing memikirkan kesihatan kedua-dua anaknya terutama Noor Aisyah Athirah yang sering sukar bernafas sehingga adakalanya terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sehingga dua minggu.
"Mengikut doktor, Aisyah masih belum dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk pembedahan kerana usia dan beratnya yang tidak mencukupi, jadi dia terpaksa bergantung kepada ubat sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan," katanya sebak.
Harapannya agar kedua-dua anaknya itu dapat membesar seperti kanak-kanak normal lain dan menikmati kehidupan lebih sempurna pada masa depan.
No comments:
Post a Comment