Program berbentuk Islamik untuk pelajar universiti perlu dipergiatkan kerana program seumpama itu mampu memantapkan sahsiah golongan itu yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata perkembangan dunia tanpa sempadan ketika ini adalah cabaran hebat kepada belia ketika ini, terutama pelajar universiti yang seharusnya menjadi ikon masyarakat.
"Pelbagai anasir luar yang negatif kini membarah dalam masyarakat dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama pelajar universiti untuk mencegahnya di peringkat akar umbi.
"Bagi mencapai tujuan itu, usaha memantapkan emosi, spiritual dan akhlak pelajar perlu sentiasa diperhebatkan agar mereka mampu menangani cabaran lebih hebat di masa depan," katanya ketika merasmikan program 'Keep Calm and Lets Hijrah' di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu, semalam.
Program anjuran Kelab Mahasiswa Kewangan dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan serta Fakulti Kontemporari Islam itu juga turut dihadiri masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment