Monday, April 28, 2014

Malaysia Minta Sokongan AS Bina Pengetahuan, Kepakaran Bangun Teknologi Hijau


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sokongan Amerika Syarikat bagi membina pengetahuan dan kepakaran membangunkan teknologi hijau.

Ini terkandung dalam kenyatan bersama Najib dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.

Najib dalam kenyataan itu, mengucapkan terima kasih kepada Obama atas sokongan negara berkenaan dalam pelaksanaan strategi pembangunan teknologi hijau dan kerjasama tenaga bersih di bawah Perkongsian Tenaga Komprehensif Amerika Syarikat Asia Pasifik.

Perdana Menteri melahirkan penghargaan kepada Obama atas sumbangan Amerika Syarikat berjumlah lebih US$60 juta (RM196.2 juta) sebagai bantuan teknikal dan kewangan kepada negara anggota Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

Inisiatif berhubung terumbu karang, perikanan dan keselamatan makanan (CTI-CFF) itu, meliputi kerjasama pelbagai hala bagi mengekalkan kepelbagaian sumber marin dan biologi yang terkaya di Asia Tenggara.


Kawasan Segi Tiga Terumbu Karang terletak dalam lingkungan perairan enam negara iaitu Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Timor-Leste dan Kepulauan Solomon.

Satu daripada tiga penduduk di kawasan itu, dengan jumlah populasi 363 juta orang, bergantung kepada sumber perikanan sebagai makanan setiap hari.

"Berdasarkan visi bersama kedua-dua negara untuk membangunkan ekonomi berasaskan bio bagi mengekalkan pertumbuhan, kedua-dua pemimpin menekankan tentang pentingnya memperluas kerjasama penyelidikan sektor swasta dan kerjasama dalam bioteknologi," demikian menurut kenyataan itu.

Najib dan Obama mengulangi komitmen bersama bagi memelihara kepelbagaian bio dan bersetuju memperkukuh kerjasama menangani perdagangan haram hidupan liar.

Obama, yang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, dijadual berlepas ke Filipina hari ini.

Sementara itu pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya, Presiden Obama berkata negara-negara Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.

"Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'.

Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'.

"Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata pemimpin Amerika itu.

Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini.

 "Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment