Tuesday, April 29, 2014

Terengganu Ambil Pendekataan Berjaga-jaga Terhadap MERS-CoV

Jabatan Kesihatan negeri mengambil pendekatan berjaga-jaga setelah terdapat beberapa kes pesakit yang disyaki mempunyai kaitan dengan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) dima­sukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah kalangan mereka yang baru pulang mengerjakan umrah di negeri ini menerima rawatan di HSNZ dan di hospital lain.

Beliau mengakui jumlah kes yang disyaki dilaporkan bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan jadual kepulangan dari Mekah namun setakat ini, tiada sebarang kes seumpama itu yang disahkan berlaku di negeri ini.

"Memang ada pesakit yang ada simptom demam, selesema dan batuk dimasukkan ke wad HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah) sebagai langkah berjaga-jaga. Namun mereka hanya disyaki, bukan disahkan terkena jangkitan itu (MERS-CoV).


"Sama juga dengan pe­nyakit lain termasuk denggi, kencing tikus dan sebagainya, tidak semestinya apabila disyaki, mereka terus disahkan menghidap penyakit itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Anwa berkata, pihaknya sedang mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan yang proaktif bagi memastikan negeri ini bebas daripada sebarang kes jangkitan MERS-CoV.

Beliau menjelaskan, ia termasuk menyediakan kaunter saringan di klinik-klinik di negeri ini dan sekiranya ada pesakit yang mempunyai simptom MERS-CoV, mereka akan dirujuk segera ke hospital untuk rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment