Monday, April 21, 2014

Terengganu Sedia RM13 Juta Subsidi Perumahan Di Kemasik


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan subsidi sebanyak RM13 juta untuk pembinaan 466 unit rumah kos rendah di Taman Gong Chengal, Kemasik.

Pengumuman dibuat dalam majlis penyerahan kunci kepada 45 pemilik rumah fasa pertama Jumaat. "Harga jualan sebelum ini ialah RM82,738.20 dan kerajaan negeri bersetuju memberi subsidi sebanyak RM29,738.20 untuk setiap unit rumah.

"Ini bermaksud pembeli hanya membayar RM53,000 untuk rumah ini dan berharap dapat meringankan beban kewangan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah yang terlibat," katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Terengganu, Rosli Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kemasik.

Ahmad berkata terdapat 2,000 unit rumah termasuk rumah mampu milik sedang dibina di seluruh negeri iaitu di Manir, Kuala Terengganu, Bandar Seri Bandi di Kemaman dan Kota Putera di Besut. Katanya ia adalah sebahagian tawaran dalam manifesto Barisan Nasional Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu untuk menyelesaikan masalah rumah dalam kalangan rakyat.

"Insya-Allah kita akan teruskan pemberian subsidi di beberapa projek perumahan untuk kebajikan rakyat di masa akan datang," katanya.

Sementara itu Rosli berkata buat permulaan, ini adalah fasa pertama yang sudah siap manakala bakinya dijangka akan diserahkan kepada pemilik secara berperingkat sebelum Disember tahun depan.

"Keseluruhannya, taman perumahan kos rendah ini sudah siap, cuma masih di peringkat kerja-kerja akhir dan fasa pertama ini diserahkan (kepada pemilik) bagi mengelakkan kes kecurian atau kerosakan infrastruktur berlaku jika dibiarkan lebih lama tanpa kehadiran penduduk," katanya.

No comments:

Post a Comment