Monday, May 5, 2014

Amaran Tarik Balik Tajaan & Pinjaman Jika Terlibat Bantahan GST


Kerajaan negeri akan menarik balik tajaan dan pinjaman pendidikan mana-mana pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, tindakan pelajar menyertai mana-mana perhimpunan, jelas melanggar perjanjian pinjaman dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka tanpa sebarang kompromi.

Setakat ini katanya, beliau tidak mendapat maklumat jelas mengenai perkara itu, namun siasatan sedang dijalankan.

“Sekarang kita sedang menyiasat sekiranya benar ada pelajar tajaan kita (Yayasan Terengganu) yang terlibat. Kita akan kumpulkan bukti seperti gambar dan rakaman visual, bila sahih, tindakan segera akan diambil.

“Saya tidak akan beri muka jika benar ada pelajar kita yang terlibat. Ini amat mengecewakan, mereka perlu tumpukan perhatian pada pelajaran, bukan mengambil bahagian dalam perhimpunan tidak berfaedah seumpama ini,” katanya.

Kesal dengan perhimpunan itu, Ghazali berkata, pembangkang tidak seharusnya menolak dan mempolitikkan GST kerana pelaksanaan cukai berkenaan mampu memberi impak positif kepada ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment