Friday, May 9, 2014

JPJ gantung lesen 17 pemandu bas ekspres gagal ujian dadah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung lesen 17 pemandu bas ekspres yang gagal ujian saringan dadah dalam operasi yang dijalankan jabatan itu bagi tempoh 22 April hingga 5 Mei lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, mereka antara lebih 2,000 pemandu bas ekspres yang diperiksa di 22 terminal bas ekspres di seluruh negara.

Dalam tempoh sama JPJ mengeluarkan 39 saman terhadap pemandu bas ekspres yang didapati melakukan kesalahan ketika memandu, katanya, kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Komunikasi Berintegriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, kelmarin.

Katanya, kesalahan itu dikesan oleh pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang. "Antara kesalahan yang dikesan ialah melanggar peraturan lalu lintas, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta merokok," katanya.


Selain itu, Ismail berkata, JPJ juga menjalankan operasi memeriksa kenderaan yang masuk dari Thailand di sempadan negara sejak 24 April lalu.

"Dalam 13 operasi yang dijalankan sehingga hari ini, sebanyak 139 saman dikeluarkan iaitu 96 kesalahan berkaitan permit peredaran antarabangsa (ICP) dan bakinya lain-lain kesalahan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment