Monday, May 5, 2014

Masjid Geliga Tubuh Koperasi Bagi Menjana Pendapatan

Barisan panel penilai (berbaju coklat) menyemak sistem dokumentasi Masjid Geliga sambil diberi penerangan oleh Mohd Hisham (kanan), Mustafar (kiri) dan jawatankuasa masjid yang lain. 
Jawatankuasa Masjid Geliga mewujudkan koperasi sendiri yang dinamakan Koperasi Kariah Masjid Geliga sebagai usaha untuk menjana pendapatan bulanan kepada masjid.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Geliga, Mohd Hisham Zubir berkata, penubuhan koperasi itu baru sahaja diluluskan beberapa bulan lalu dan telah pun memiliki aset berupa tiga premis perniagaan berdekatan masjid.

Menurutnya, tiga premis atau gerai itu disumbangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Geliga sendiri merangkap Yang Dipertua (YDP), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafar Khalid dengan ketiga-tiga gerai itu disewakan kepada kariah masjid yang minat dalam perniagaan.

“Kita percaya pendapatan daripada koperasi ini akan dapat membiayai perbelanjaan aktiviti dan pengurusan masjid pada masa akan datang serta tidak bergantung sepenuhnya pada kutipan sumbangan daripada mana-mana pihak sahaja.

“Selain itu, kita turut jana pendapatan masjid daripada sewaan sebuah rumah tumpangan (homestay) di dalam kawasan masjid dan kini kita juga sedang ubahsuai sebuah lagi rumah yang bersebelahan homestay sedia ada. Sekiranya ia siap kita ada dua homestay,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menerima kunjungan daripada barisan panel penilai Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2014, kelmarin. Masjid Geliga mengharumkan nama Kemaman kerana telah terpilih untuk mewakili Terengganu dalam Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2014 bagi kategori masjid kerajaan selepas muncul johan dalam pertandingan sama peringkat negeri baru-baru ini.

Daripada keseluruhan 6,000 masjid di negara ini, hanya lebih 40 masjid termasuk Masjid Geliga terpilih untuk mara ke peringkat kebangsaan.

SinarOnline

No comments:

Post a Comment