Sunday, June 1, 2014

Jabatan Perikanan Sasar 30 Lagi Nelayan Di Terengganu Guna TED

Jabatan Perikanan Malaysia menyasarkan 30 lagi nelayan di Terengganu menggunakan alat peranti penyisih penyu (TED) pada pukat tunda sehingga hujung tahun ini, bagi memastikan kelangsungan habitat haiwan itu di negara ini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Ahmad Sabki Mahmood berkata penggunaan alat itu amat perlu bagi mengurangkan kadar kematian penyu akibat terperangkap dalam pukat nelayan.

"Kalau penyu terperangkap dalam pukat nelayan, ia akan dapat melepaskan diri dengan cepat jika nelayan menggunakan TED.

"Sekarang sudah ada 12 nelayan di Terengganu, khususnya di Kemaman, yang menggunakan TED dan kita akan perluaskan lagi sehingga hujung tahun ini, dan segala kos ditanggung pihak jabatan dengan kerjasama pihak swasta iaitu kira-kira RM700 untuk satu alat," katanya kepada pemberita bersempena Program Konservasi Penyu Bersama Belia di Pusat Santuari Penyu Ma' Daerah di Kemaman.


Beliau berkata sejak 2011, pihaknya mendapati hampir 100 peratus penyu yang terperangkap dalam pukat nelayan yang menggunakan TED dapat diselamatkan. Ahmad Sabki berkata penggunaan TED juga akan menyaksikan hasil tangkapan nelayan lebih bersih kerana alat itu dapat membuang sampah yang terperangkap di pukat nelayan.

Beliau berkata pihaknya kini dalam usaha menggalakkan nelayan menggunakan TED dan turut mengadakan seminar untuk memperkenalkan alat itu.

"Alat ini merupakan teknologi Amerika Syarikat, yang mana kita juga telah menguji alat ini di Florida sebelum diperkenal di Terengganu ... kita uji dengan menggunakan kapal tunda di sana dan daripada 25 ekor penyu yang dilepaskan ke dalam pukat, semuanya terselamat.

"Kita merupakan negara pertama di Asia yang menggunakan TED ini untuk komuniti kerana negara luar menggunakannya untuk komersial," katanya.

 Pada program itu, kira-kira 300 ekor anak penyu dilepaskan.

No comments:

Post a Comment