Friday, June 20, 2014

Kelewatan LPT II - PAC Tolak Dakwaan Pembangkang Kaitkan Penyelewengan, Rasuah

Peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta daripada  kerajaan pusat  bagi membiayai pengambilalihan tanah yang lebih luas, selain pembinaan komponen-komponen lain dalam lebuh raya bertol dan peningkatan mendadak bahan binaan semasa projek itu dilancarkan.

Ada pihak, termasuk pembangkang, cuba menggambarkan bahawa kelewatan siapanya pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT II) diakibatkan berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Malah gembar-gembur pembangkang, khususnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak persidangan tahun 2009, semata-mata mahu mengaitkan kelambatan projek berkenaan dengan kelemahan pentdbiran kerajaan Pusat dan negeri.

Memburukkan keadaan, kelewatan projek ini dikaitkan dengan tuduhan membabitkan salah guna kuasa, peemberian kontrak kepada syarikat yang kurang berkemampuan selain isu berkaitan rasuah.

Sebaliknya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC semalam, menjelaskan projek LPT II yang sepatutnya siap pada 2009 mengalami kelewatan disebabkan perubahan pembinaan daripada lebuh raya persekutuan kepada lebuh raya bertol.

Projek ini juga lewat kerana peruntukan tambahan itu dikeluarkan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), sedangkan pembiayaan asal projek itu dikeluarkan dalam RMK-10.


Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (atas) menjelaskan, berikutan perubahan itu kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan tambahan RM800 juta.

Peruntukan tambahan oleh kerajaan pusat itu juga bagi membiayai pengambilalihan tanah yang lebih luas, selain pembinaan komponen-komponen lain dalam lebuh raya bertol dan peningkatan mendadak bahan binaan semasa projek itu dilancarkan.

Skop projek itu dibahagikan kepada dua badan penyelia iaitu Jabatan Kerja Raya yang menguruskan pembinaan 120 kilometer lebuh raya itu dengan kos RM2.09 bilion dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sepanjang 64 kilometer dengan kos RM1.5 bilion.

Peruntukan tambahan RM800 juta disalurkan kepada skop projek yang diselia JKR yang menjadikan kos asal iaitu RM2.09 bilion itu meningkat kepada RM2.9 bilion.

Bagaimanapun daripada jumlah RM2.9 bilion ini pihak kontraktor berjaya membelanjakan di bawah peruntukan itu iaitu RM2.75 bilion dan skop itu telah siap 95 peratus sementara skop LLM sepanjang 64 kilometer pula telah siap sepenuhnya.

Pada sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya berhubung kelewatan dan pertambahan peruntukan projek LPT II itu, di Kuala Lumpur, kelmarin (18 Jun 2014), beliau menjelaskan, peruntukan tambahan adalah bagi membiayai reka bentuk baharu lebuh raya itu seperti pembinaan plaza tol dan hentian rehat dan rawat.

PAC memanggil Kementerian Kerja Raya bagi menjelaskan perkara itu selepas ia dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu.

Projek LPT II yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer sepatutnya dimulakan pada 2006 dan siap pada 2009.

Bagaimanapun akibat pelbagai masalaah, ia berlaku kelewatan dan sebelum dimulakan pada 2011 dan dijangka siap September tahun ini.

Jelas dan nyata bahawa kelewatan yang berlaku kepada LPT II tidak ada kena mengena dengan rasuah atau penyelewengan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Di pihak kerajaan negeri, selain menjamin projek ini siap, ia melihat pelbagai perkara lain wajar diadakan di LPT II untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman masalah kawasan hentian rehat atau R&R perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Dengan R & R di LPT II masih tidak beroperasi, masalah kekurangan kemudahan khas untuk pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya tersebut perlu mendapat perhatiaan segera. Berikutan itu, syarikat konsesi penyelenggaraan lebuh raya bagi mengatasi masalah tersebut, bakal dilantik akhir tahun ini yang akan ditentukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebaik sahaja terpilih, syarikat konsesi berkenaan akan membuat semua urusan untuk menyelenggara R&R serta tiga plaza tol yang beroperasi iaitut Ajil, Bukit Besi dan Pakadi laluan berkenaan.

LPT II dari Bukit Besi ke Paka sepanjang 34 kilometer bernilai RM514 juta yang mampu mempercepatkan perjalanan, mula dibuka kepada pengguna jalan raya bermula awal tahun ini.

Sementara laluan sepanjang 70 km menghubungkan Bukit Besi menghala Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dibuka kepada pengguna sejak 22 Ogos 2011.

Pada 25 Januari lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, dengan siapnya jajaran baharu pakej 10 hingga ke sebahagian pakej 7 (7C) itu menandakan kira-kira 100 daripada keseluruhan 184 kilometer projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 tersebut telah dibuka kepada orang ramai.

"Kerajaan berharap pembukaan lebuh raya ini memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jajaran itu di Plaza Tol Bukit Besi.

Fadillah turut berkata, buat masa ini, kerajaan belum membuat keputusan dari segi tol dan sebagainya berhubung pembukaan baharu sebahagian jajaran LPT2 itu.

Urusan pembidaan bagi menyelenggara LPT berkenaan sudah ditutup 17 Jun lalu dan kini proses penilaian dan saringan akhir sedang dilakukan untuk memilih beberapa syarikat konsesi yang menyertai bidaan.

Ir. Rosli menegaskan, kerajaan negeri berharap LLM akan memilih syarikat konsesi penyelenggara lebuh raya yang terbaik serta mampu melaksanakan kerja mengikut piawaian, menepati keperluan, cekap dan juga selamat.

Dengan penjelasan PAC berasaskan sumber Jabatan Kerja Raya ini , kita berharap pihak yang cuba menangguk ikan di air keruh dan mahu mengaut keuntungan politik berkaitan LPT II memberhentikan tuduhan liar mereka dengan segera.

Pengajaran daripada LPT II ini ialah semua pihak wajar bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dalam menentukan perancangan awal termasuk keperluan pengguna sesuatu projek perolehan kerajaan.

Ia bagi mengelak berlaku pelbagai masalah seperti yang kerap dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara berkenaan masalah pembinaan projek-projek tertentu, seperti yang berlaku kepada LPT II ini.

Harapan kita ialah, tidak akan timbul lagi persoalan di kalangan rakyat terhadap kemampuan jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab melaksanakan sesuatu pembinaan pada masa hadapan, apa lagi jika ia membabitkan kepentingan rakyat jelata di negeri ini.


Nota - Sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan pada Bicara Terengganukita, Trg FM, Khamis 19 Jun 2014, jam 1,30 tghari.

No comments:

Post a Comment