Friday, June 20, 2014

Sasaran Tingkat Pengeluaran Akuakultur Menjelang 2020

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin dapat mencapai sasaran peningkatan pengeluaran akuakultur kepada 50 peratus menjelang tahun 2020.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata industri perikanan di seluruh dunia kini mengalihkan tumpuan kepada aktiviti akuakultur dan tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan laut.

"Setakat ini kita sudah mencapai 20 peratus, jadi baki 30 peratus dijangka mampu dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama dalam usaha memperkasa bidang akuakultur di negara ini.

"Tumpuan diberi kepada aktiviti akuakultur dan bukan lagi kepada hasil laut semata-mata disebabkan oleh beberapa elemen seperti pemanasan global yang memberi impak kepada hidupan laut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Makanan Laut Antarabangsa Malaysia (MISE) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.


Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata sasaran pengeluaran itu adalah kesinambungan daripada dasar baharu yang diperkenalkan akhir tahun 2013 dengan nisbah pengeluaran tangkapan laut kepada akuakultur 50:50 daripada 80:20 sebelumnya.

Menurutnya, industri perikanan menyumbang 1.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 12.5peratus kepada industri agrikultur negara.

Kementerian juga kini melihat untuk mengambil peluang yang lebih besar dalam pengeluaran akuakultur dengan memberi penekanan terhadap industri kecil seperti pembiakan rumpai laut, gamat, terumbu karang dan sebagainya selain produk tradisional seperti ikan.

"Kami kini dalam perbincangan untuk mewartakan Pulau Bidong di Terengganu bagi dijadikan sebagai pusat terumbu karang," katanya.

MISE 2014 berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 Jun dan disertai 150 pempamer dari dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment