Friday, November 20, 2015

Terengganu Raih Pelaburan Baharu China Bernilai RM1 Bilion


Terengganu berjaya menarik pelaburan baharu China bernilai lebih RM1 bilion tahun depan selain memeterai perjanjian persefahaman bagi projek panel tenaga solar dengan Korea Selatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kejayaan itu hasil lawatan kerjanya selama 12 hari ke dua negara itu pada 5 Nov lepas.

Dalam kunjungan ke Shanghai, pihaknya menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Huaxi Group melibatkan pelaburan bagi pembangunan infrastruktur di Terengganu, tahun depan.

"Syarikat gergasi itu juga bersetuju memastikan sekurang-kurangnya 3,000 kakitangannya diberi insentif percutian di Terengganu setiap tahun bermula 2016. Ini sekaligus memacu sektor pelancongan negeri ini ke tahap lebih baik serta menjana pendapatan.

"Lebih membanggakan, Huaxi Group juga bersetuju menyediakan satu kawasan khas di penempatan Huaxi bagi pembinaan Rumah Terengganu dan kos pembinaan ditanggung mereka. Ia akan dijadikan pusat pameran mempromosikan produk dan tarikan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2015, di Dataran Batu Buruk, di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Razif berkata, rumah Terengganu itu dijadual siap tahun depan dan pihaknya kini dalam proses menyiapkan lakaran bangunan berkenaan.

"Apabila siap, kita akan membawa PESONA Terengganu dalam usaha meluaskan rangkaian perniagaan usahawan yang berpotensi ke wilayah itu," katanya.

Di Korea Selatan, beliau sempat mengunjungi Sungai Han bagi melihat keunikan konsep 'river life' yang boleh dicontohi Terengganu.

"Ada beberapa kawasan sungai yang sesuai terutamanya di Sungai Hiliran (Kuala Terengganu) dan kita akan cuba mendapatkan peruntukan Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata, ada syarikat Korea yang turut bersetuju melabur bagi pembinaan pusat penjanaan tenaga solar di atas air dan Kemaman dilihat lokasi paling sesuai bagi pelaksanaannya.


Bernama

No comments:

Post a Comment