Kelmarin Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman
menegaskan tidak akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi
membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di terengganu sebagaimana dakwaan
yang tersebar beberapa hari lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, ia sekadar khabar angin yang
sengaja ditimbulkan pihak tertentu termasuk desakan untuk menjatuhkannya bagi
memanaskan suasana menjelang Sidang Dun yang akan diadakan pada 8 Ogos ini.
Semalam pula, Ahmad Razif berkata, Kerajaan Negeri
Terengganu sedapat mungkin mahu mengelak berlaku PRN.
Namun UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri tetap bersedia
sekiranya ia jalan terakhir.
Jika berlaku, sudah pasti Terengganu akan berdepan dua kali pilihan raya dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
Isunya kini bukan kos sahaja tetapi apakah ia
penyelesaian terbaik kepada kemelut yang sedang melanda?
Jika diadakan pilihan raya, siapa akan mengetuainya?
Apakah Ahmad Razif berkemampuan melaksanakan tugas itu
dalam keadaan beliau sendiri menghadapi penentangan dari dalam partinya
sendiri?
Apakah UMNO yakin memang boleh menang?
Apakah hasil kajian UMNO atau agensi kerajaan Terengganu
terhadap sikap rakyat ketika ini?
Kalaupun tidak menang besar, apakah BN Terengganu yakin akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah?
Dalam kedudukan banyak kerusi yang BN menang dengan perbezaan undi
yang sedikit atau dengan majoriti kecil, keyakinan yang ‘melampau’ akan memakan diri.
Siapa yang akan menentukan calon? Menteri Besar secara mutlak atau mengambil pandangan Ketua-Ketua Bahagian?
Menurut sumber, kajian Jabatan Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) Terengganu, pada ketika ini hanya 10 kerusi sahaja yang boleh dimenangi
oleh BN. Sementara lapan kerusi, masih diperingkat ‘samar-samar’ atau kelabu
sementara yang selebihnya ‘seperti warna air kopi’.
Memanglah kajian yang dibuat oleh pemimpin UMNO, mereka
berkeyakinan akan menang sekurang-kurangnya 18 kerusi.
Menteri Besar boleh mengatakan suasana politik di
Terengganu stabil dan terkawal, dan cuma desas-desus yang cuba ditimbulkan
menjelang sidang DUN, Isnin depan.
“Bagi saya tiada apa-apa. Kalaupun ditimbulkan undi tidak
percaya, kita ada peraturan kita yang perlu diikuti terlebih dahulu seperti 14
hari notis. Jadi, tiada kemungkinan pembubaran Dun, khabar angin ini mungkin
cuba dicetuskan oleh pihak tertentu," katanya.
Itu kelmarin ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan
Mesra Aidilfitri Bersama Serikandi 2016, di Hotel Permai, di Kuala Terengganu.
Kenyataan Ahmad Razif mengenai usul termasuk undi tidak
percaya itu pun bertentangan dengan apa yang disebut oleh Yang Dipertua DUN, Datuk
Mohd Zuber Embong.
Kata Zuber, walaupun tiada notis usul dikemukakan, ahli
Dewan dibolehkan mengemukakan usul atau cadangan mengikut peruntukan serta
Undang-Undang Peraturan Tetap Dewan ketika persidangan.
Katanya, persidangan DUN negeri dijadualkan pada 8 Ogos
ini dan ahli Dewan yang bercadang mengemukakan usul atau cadangan tidak perlu
mengemukakan notis awal, sebaliknya pada hari persidangan dengan mematuhi
undang-undang dan peraturan tetap DUN.
"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang notis
usul terutama membabitkan undi tidak percaya kepada Ahmad Razif daripada ahli
Dewan seperti yang disebarkan melalui laman sosial," katanya.
Semalam Ahmad Razif menyifatkan kemelut politik sekarang ibarat ‘ribut dalam cawan’ tetapi di kalangan
rakyat, ia bukan sahaja ribut tetapi sudah bunyi petir bendentum.
Dengan penuh yakin, Ahmad Razif berkata UMNO Terengganu
bukan sahaja bersedia menghadapi kemungkinan berlaku PRN malah berkeyakinan
penuh kemelut politik yang sedang melanda negeri itu tidak akan mempengaruhi
kemenangan mereka dalam pilihan raya tersebut.
"Kita akan meneruskan kemenangan UMNO dan BN
sebagaimana yang dicapai dalam dua pilihan raya iaitu PRN Sarawak dan PRK Kuala
Kangsar sebelum ini. Inshaa-ALLAH, UMNO Terengganu akan bertahan, begitu juga
dalam PRU14 akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan
Hari Koperasi Negara 2016 Perinkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan
Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, semalam.
Walaupun demikian, seboleh-bolehnya diharap agar satu
pilihan raya sahaja diadakan kerana akan menelan perbelanjaan yang banyak dan akan
merugikan kerajaan serta rakyat.
"Bayangkan, kita terpaksa adakan dua pilihan raya
iaitu satu di peringkat negeri dan satu di peringkat parlimen, ia bukan menelan
belanja yang sedikit, bila PRU nanti kena buat sekali lagi, kos akan meningkat,
ia akan merugikan rakyat dan kerajaan.
"Tetapi, kalaulah keadaan terpaksa, kerajaan negeri
telah bersiap sedia, Umno Terengganu bersiap sedia. Namun, demi untuk rakyat,
kita minta perkara ini dipertahankan sehingga berlaku PRU yang akan diumumkan
oleh perdana menteri," katanya.
Menurutnya sebaik-baiknya, "biarlah Terengganu bersama-sama dalam pilihan raya umum akan datang".



No comments:
Post a Comment