Siasatan awal Polis Terengganu mendapati modus operandi
digunakan penjenayah dipercayai warga asing dalam rompakan di Gong Badak 4
September lalu mempunyai persamaan dalam kes yang berlaku di Kedah.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, dalam
kejadian itu, kesemua pengawal keselamatan diikat dan suspek memecahkan dua ATM
di sebuah pasar raya menggunakan gas oxy-acetylene dan tiga peti wang tunai
menggunakan mesin pemotong besi.
“Pihak kami yakin
kes rompakan ini didalangi suspek sama yang turut melakukan jenayah rompakan di
Kedah sebelum ini kerana selepas diteliti, modus operandi bagi kedua-dua kes
terbabit adalah sama,” katanya.
Dalam kejadian rompakan di sebuah pasar raya yang melibatkan
tujuh penjenayah bertopeng, itu membabitkan
kerugian RM1.14 juta.
Bagaimanapun, Rosli berkata, kesemua suspek ini tiada
kaitan dengan insiden sebuah ATM di sebuah bank di Dungun yang diletupkan pada
keesokan harinya iaitu dalam kejadian 5 September lalu.
Kejadian di Dungun |
“Dalam insiden yang melibatkan kerugian RM260,000 itu,
siasatan mendapati suspek terlibat berkulit hitam seperti bangsa India.
“Siasatan seterusnya turut mendapati modus operandi yang
digunakan penjenayah dalam kes terbabit tiada kaitan dengan kes di pasar raya
itu tetapi mempunyai kesamaan dengan kes yang berlaku di Selangor sebelum ini,”
katanya.
Rosli berkata demikian dalam satu sidang media selepas
Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ketua
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik dan Ketua Polis Daerah Hulu
Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala
Terengganu, kelmarin.
Berikutan itu, seorang pengawal keselamatan sebuah pasar
raya di Kuala Nerus ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian
rompakan pada 4 September itu.
Rosli berkata, suspek merupakan salah seorang daripada
empat pengawal keselamatan berusia antara 31 hingga 74 tahun yang turut diikat
penjenayah pada hari kejadian.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek
positif dadah sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kita yakin suspek boleh membantu siasatan dan seterusnya
membantu kita menjejaki kesemua penjenayah itu,” katanya dan turut tidak menolak
kejadian tersebut didalangi 'orang dalam’.
Selain dua kejadian berkenaan, dilaporkan sekumpulan
penjenayah berjaya melarikan RM8,000 daripada sebuah hypermarket di Kuala Ibai
kelmarin.
Kejadian disedari pekerja hypermarket berkenaan yang
datang untuk bekerja kira-kira jam 9.40 pagi dan mendapati pintu hadapannya
terbuka.
Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Cendering.
Polis sedang menyiasat.
No comments:
Post a Comment