Saturday, September 10, 2016

Ahmad Said – Jangan Kejutkan Harimau Yang Sedang Tidur...


Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini menyatakan kesetiaannya untuk terus bersama UMNO dan tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ahmad, 59, yang menyertai UMNO sejak berusia 18 tahun, berkata setakat ini beliau mahu terus berkhidmat untuk parti itu tetapi tidak pasti sampai bila mampu bertahan dan berharap tiada pihak terus mempertikai serta mencabar kesetiaannya kepada parti.

"Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar orang untuk berjumpa dengan saya untuk mengajak masuk BERSATU. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menawarkan kepada saya untuk menjadi Ahli Mesyuarat Tertinggi BERSATU.

"Setakat ini, saya nak tengok dulu. Saya tak jawab lagi... tetapi tidak tahulah sampai bila, kalau desakan bertalu-talu saya takut saya tidak dapat bertahan," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kemaman, hari ini.

Ahmad, yang juga ADUN Kijal berkata selain BERSATU, beliau pernah ditawarkan menganggotai parti PAS, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), namun menolak kerana tidak mahu mengkhianati UMNO.

Kata Ahmad, beliau bertekad untuk terus kekal bersama-sama UMNO bagi melihat perubahan yang bakal dilakukan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut politik di Terengganu.

"Saya telah dimaklumkan bahawa Najib telah memanggil beberapa orang ADUN untuk mendengar sendiri apa masalah yang membelenggu negeri ini.

"Najib janji untuk mengadakan perubahan. Saya masih lagi ahli UMNO... saya tidak berdendam cuma jangan kejutkan harimau yang sedang tidur," katanya yang turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memandang rendah kepada kemunculan parti baru.

Sementara itu, Ahmad meminta supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca apabila hanya 686 daripada 973 perwakilan UMNO bahagian itu tidak menghadiri persidangan perwakilan berkenaan.

Kemaman menjadi satu-satunya bahagian di Terengganu yang persidangan perwakilannya dirasmikan sendiri ketua bahagian dan Ahmad berkata walaupun menghadapi kekangan dari pelbagai sudut, beliau tetap berharap perwakilan akan terus memberi sokongan kepadanya serta parti.

- Bernama

Rompak RM1.4 Juta – Modus Operandi Ada Persamaan Dengan Kes Di Kedah


Siasatan awal Polis Terengganu mendapati modus operandi digunakan penjenayah dipercayai warga asing dalam rompakan di Gong Badak 4 September lalu mempunyai persamaan dalam kes yang berlaku di Kedah.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, dalam kejadian itu, kesemua pengawal keselamatan diikat dan suspek memecahkan dua ATM di sebuah pasar raya menggunakan gas oxy-acetylene dan tiga peti wang tunai menggunakan mesin pemotong besi.
 
 “Pihak kami yakin kes rompakan ini didalangi suspek sama yang turut melakukan jenayah rompakan di Kedah sebelum ini kerana selepas diteliti, modus operandi bagi kedua-dua kes terbabit adalah sama,” katanya.

Dalam kejadian rompakan di sebuah pasar raya yang melibatkan tujuh penjenayah bertopeng,  itu membabitkan kerugian RM1.14 juta.

Bagaimanapun, Rosli berkata, kesemua suspek ini tiada kaitan dengan insiden sebuah ATM di sebuah bank di Dungun yang diletupkan pada keesokan harinya iaitu dalam kejadian 5 September lalu.

Kejadian di Dungun
“Dalam insiden yang melibatkan kerugian RM260,000 itu, siasatan mendapati suspek terlibat berkulit hitam seperti bangsa India.

“Siasatan seterusnya turut mendapati modus operandi yang digunakan penjenayah dalam kes terbabit tiada kaitan dengan kes di pasar raya itu tetapi mempunyai kesamaan dengan kes yang berlaku di Selangor sebelum ini,” katanya.

Rosli berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Berikutan itu, seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Kuala Nerus ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian rompakan pada 4 September itu.

Rosli berkata, suspek merupakan salah seorang daripada empat pengawal keselamatan berusia antara 31 hingga 74 tahun yang turut diikat penjenayah pada hari kejadian.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek positif dadah sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita yakin suspek boleh membantu siasatan dan seterusnya membantu kita menjejaki kesemua penjenayah itu,” katanya dan turut tidak menolak kejadian tersebut didalangi 'orang dalam’.

Selain dua kejadian berkenaan, dilaporkan sekumpulan penjenayah berjaya melarikan RM8,000 daripada sebuah hypermarket di Kuala Ibai kelmarin.

Kejadian disedari pekerja hypermarket berkenaan yang datang untuk bekerja kira-kira jam 9.40 pagi dan mendapati pintu hadapannya terbuka.


Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Cendering. Polis sedang menyiasat.