"Peniaga dan pengurusan hotel percaya kerajaan negeri tidak cukup berusaha melakukan sesuatu untuk membawa masuk pelancong bermalam di negeri itu dan berbelanja di Kuala Terengganu."
Oleh The Malaysia Insight
SEKTOR pelancongan di Terengganu kelihatannya seperti
sangat maju ketika cuti musim panas sedang berlangsung.
Resortnya di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah yang
menghadap hamparan laut biru jernih airnya, penuh sesak dengan pelancong
Eropah, China dan juga rakyat Malaysia yang berkemampuan.
Tetapi di ibu negerinya Kuala Terengganu, penjual batik
dan cenderamata seperti Abdul Manaf Omar, 48, keuntungan daripada perniagaannya
semakin mengecil dan pelanggan pula berkurangan bulan demi bulan.
“Hanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum saja ada
orang masuk ke kedai saya. Dan saya boleh dianggap bertuah kerana kedai di
Pasar Payang ini tempat tumpuan umum yang terkenal,” katanya yang ditemui di
gerainya.
Perbezaan itu terlihat dalam angka pelancongan Terengganu
yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi negeri.
Pada 2015, ia merekodkan
pertumbuhan 12.6% dalam kalangan pelancong asing jika dibandingkan hanya 3%
bagi pengunjung domestik.
Ia juga perbezaan yang menunjukkan kesan tidak sama rata
daripada ekonomi lemah terhadap kelas pendapatan berbeza, sama seperti
bagaimana pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan baru-baru ini tidak
dirasai oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Penurunan pelancong domestik akan mencabar sasaran
kerajaan Terengganu untuk memperoleh pendapatan selain daripada hasil minyak
dan gas serta menjadikan sektor itu penyumbang terbesar hasil negeri.
Jadi walaupun destinasi dan hotel yang menyasarkan
pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia kaya dan pelancong asing
menyaksikan peningkatan, perniagaan yang bergantung pada pelancong domestik
semata-mata, tidak berkembang.
Perlumbaan kapal layar Monsoon Cup contoh terbaik. Hotel
mewah di Kuala Terengganu seperti resort Ri Yaz Heritage and Spa dan Duyong
Marina Resort, memperoleh pecahan pendapatan terbesar ketika acara itu.
Sektor lebih kecil seperti restoran, kedai dan malah
teksi juga hanya dapat sedikit pertambahan pendapatan ketika kejohanan selama
sebulan itu.
Kumpulan itu, di mana termasuk kedai menjual pakaian dan
makanan dengan kumpulan sasar rakyat Malaysia, berkata cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) dan inflasi menyebabkan jualan menurun.
Kerajaan juga punca kekecewaan mereka tetapi atas alasan
yang berbeza.
Peniaga dan pengurusan hotel percaya kerajaan negeri tidak cukup
berusaha melakukan sesuatu untuk membawa masuk pelancong bermalam di negeri itu
dan berbelanja di Kuala Terengganu.
Satu lagi ialah, pemotongan bajet kerajaan untuk
mengadakan latihan kakitangan menyebabkan seminar dan bengkel yang diadakan di
Terengganu berkurangan menyebabkan kejatuhan besar bilangan pengunjung
domestik.
Seorang lagi penjual batik, Wan Mohamad Yusof Wan Awang,
59, berkata jualan semakin teruk sejak tiga hingga empat tahun lalu, pada masa
sama kerajaan memperkenalkan GST dan memotong bajet untuk penganjuran latihan.
“Dulu, kerajaan selalu buat bengkel latihan guru di
Terengganu. Bila guru datang sini, mereka akan habiskan masa setengah hari
beli-belah di Pasar Payang,” katanya.
Manaf berkata apabila nilai ringgit jatuh berbanding
dolar Amerika Syarikat (AS), kain untuk membuat batik jadi lebih mahal kerana
terpaksa diimport dari China dan Indonesia.
“Jadi pengeluar terpaksa menaikkan harga borong kepada
kami dan ada yang kenakan GST.
Kami tidak boleh naikkan harga kepada pelanggan
kerana jualan akan jatuh. Jadi kami serap kos yang lebih tinggi itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment