Monday, January 2, 2017

Mangsa Banjir Terengganu Berkurangan, Bantuan NADMA Cekap, Berkesan

Dr Ahmad Zahid dan Ahmad Razif melawat mangsa banjir di Kuala Berang semalam.
Banjir yang masuk hari kedua di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 1,606 orang setakat pukul 10 malam semalam  berbanding 2,679 pada 6 petang semalam.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini 24 pusat pemindahan masih dibuka di lima daerah dan ia adalah penurunan ketara berbanding 35 pusat pemindahan yang beroperasi lewat petang semalam.

Daerah Hulu Terengganu yang terjejas teruk juga semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 853 orang daripada 363 keluarga berbanding 1,633 mangsa daripada 607 keluarga pada pukul 6 petang.

Sebanyak sembilan pusat pemindahan di daerah itu telah ditutup menjadikan bilangan terkini hanya enam pusat pemindahan yang masih dibuka.

Di Marang pula merekodkan 540 mangsa daripada 141 keluarga yang berpindah ke 11 pusat pemindahan daerah itu diikuti daerah Kemaman 98 mangsa (24 keluarga), Dungun 87 mangsa (20 keluarga) dan Setiu 23 mangsa (enam keluarga).



Sementara itu, Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood berkata walaupun jumlah mangsa semakin berkurangan, semua petugas dan sukarelawan JKM masih dalam keadaan bersedia ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini. 

"Alhamdulillah, petang tadi satu daerah tidak lagi terjejas akibat banjir iaitu Besut.
"Ketika ini, 150 petugas JKM Terengganu masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan untuk membantu mangsa agar mereka selesa sepanjang berada di situ.

"Seramai 40 sukarelawan JKM Terengganu turut membantu petugas di pusat pemindahan untuk memastikan semua mangsa mendapat keperluan yang secukupnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengendalian pengurusan bencana yang diambil alih oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkesan dalam menangani masalah banjir di Pantai Timur.

Dengan menjadikan banjir di Kemaman pada 2014 sebagai acuan untuk menjalankan simulasi menghadapi bencana, NADMA berjaya meningkatkan kecekapan untuk menguruskan situasi berkenaan.

Dr Ahmad Zahid berkata pengambilalihan pengurusan koordinasi bencana oleh NADMA daripada MKN membolehkan pemantauan lebih awal dilakukan dengan lebih tersusun.


Malah pengwujudan sekretariat di peringkat pusat, negeri, daerah, mukim dan kampung membantu melancarkan lagi prosedur pengurusan bencana di negara ini.

"NADMA melakukan koordinasi dengan agensi penyelamat dan penguatkuasaan supaya amaran awal dapat diberikan bagi memudahkan proses pemindahan mangsa dijalankan sebelum bencana mengancam nyawa dan harta," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika melawat Pusat Pemindahan Banjir Kampung Bukit Tadok, di Kuala Berang semalam.

Dr Ahmad Zahid berkata, banjir yang lebih serius di Terengganu berbanding Kelantan dan Pahang tahun ini berkemungkinan ada kaitan dengan perubahan iklim, namun dapat diatasi dengan baik oleh NADMA.

Beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meluangkan masa selama lebih satu jam untuk beramah mesra bersama lebih 50 mangsa banjir yang ditempatkan di lokasi ini.


Beliau yang tiba kira-kira jam 6.15 petang dengan menaiki bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana laluan di lokasi ditenggelami air turut memberikan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.

Penjawat Awam Antara 17 Ditahan Dalam Ops Tahun Baharu

Wan Mohd (tengah) menunjukkan bahan bukti.
Kakitangan kerajaan dan pasangan remaja adalah antara 17 pasangan yang ditahan membabitkan jenayah syariah dalam Ops Tahun Baru di seluruh Terengganu, pagi semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 40-an ditahan atas kesalahan khalwat dan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan intipan pihaknya.

Turut ditahan dalam operasi itu adalah lelaki dan wanita masing-masing berstatus suami dan isteri orang.

"Ada antara pasangan dicekup dalam keadaan mengaibkan,  selain ada pasangan yang datang dari Selangor dan Pahang.

"Mereka ini cuba mengaburi pihak berkuasa apabila hanya wanita yang mendaftar masuk ke hotel pada waktu malam manakala pasangan mereka hanya masuk ke dalam bilik pada awal pagi,” tegas Wan Mohamad.

Sunday, January 1, 2017

Banjir: Sesi Persekolahan 25 Sekolah di Terengganu, 15 Di Kelantan Ditangguh

Banjir di Kuala Krai semalam.
Pembukaan sesi persekolahan 2017 bagi 25 sekolah di Terengganu dan 15 di Kelantan yang sepatutnya bermula hari ini terpaksa ditangguhkan.

Ia  susulan banjir yang melanda negeri itu sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata ia melibatkan 2,430 murid sekolah rendah dan 962 pelajar sekolah menengah.

"Bilangan guru yang terlibat pula ialah seramai 490 orang iaitu 365 guru sekolah rendah dan 125 guru sekolah menengah.

"Daripada 25 sekolah itu, 22 terletak di daerah Hulu Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang," katanya.

Sekolah di Hulu Terengganu yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Teris, SK Kuala Jenderis, SK Padang Setebu, SK Matang, SK Sungai Buloh, SK Sungai Berua, SK Bukit Tadok, SK Lubok Periuk, SK Nibong, SK Kua.

SK Felda Mengkawang, SK Betong, SK Pereh, SK Felda Tersat, SK Menerong, SK Cheting, SK Padang Setar termasuk tiga sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, SMK Kuala Jenderis dan SMK Tun Indera.

Dua sekolah di Setiu ialah SK Merbau Menyusut dan SK Kampung Besut manakala satu sekolah di Marang ialah SK Sentol Patah.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata daripada 501 sekolah di negeri itu, 13 sekolah telah dinaiki air iaitu satu di Marang (SK Sentol Patah) enam di Hulu Terengganu (SK Teris, SK Tapah, SK Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Kua dan SMK Bukit Diman).

Selain itu, katanya, tiga sekolah di Kuala Terengganu (SK Kampung Bukit, SK Undang dan SK Padang Midin), dua di Setiu (SK Merbau Menyusut dan SK Kampung Besut) dan satu di Dungun (SK Seri Paka).

Anggota bomba memindahkan keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Felda Tenang, Hulu Besut semalam.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017 bagi 13 sekolah hari ini, berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami banjir. 

Pengarahnya, Jaafar Ismail, berkata jumlah itu merangkumi lapan sekolah di daerah Kuala Krai, lima sekolah di daerah Tanah Merah dan dua sekolah daerah Jeli.

Lapan sekolah terbabit di daerah Kuala Krai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian, SK Karangan, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Kuala Nal, SK Pasir Gajah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gajah dan SK Pasir Kelang.

"Lima sekolah di daerah Tanah Merah ialah SK Sokor, SK Kampung Panjang, SK Ladang Kerilla, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla dan SK Kulim manakala di daerah Jeli ialah SK Kuala Balah dan SMK Kuala Balah," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu mala tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan guru dan pelajar sekolah yang mungkin berdepan bahaya banjir jika hadir ke sekolah hari ini.