Dr Ahmad Zahid dan Ahmad Razif melawat mangsa banjir di Kuala Berang semalam. |
Banjir
yang masuk hari kedua di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa semakin
berkurangan kepada 1,606 orang setakat pukul 10 malam semalam berbanding 2,679 pada
6 petang semalam.
Menurut
portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini 24 pusat
pemindahan masih dibuka di lima daerah dan ia adalah penurunan ketara
berbanding 35 pusat pemindahan yang beroperasi lewat petang semalam.
Daerah
Hulu Terengganu yang terjejas teruk juga semakin pulih apabila jumlah mangsa
berkurangan kepada 853 orang daripada 363 keluarga berbanding 1,633 mangsa
daripada 607 keluarga pada pukul 6 petang.
Sebanyak
sembilan pusat pemindahan di daerah itu telah ditutup menjadikan bilangan
terkini hanya enam pusat pemindahan yang masih dibuka.
Di
Marang pula merekodkan 540 mangsa daripada 141 keluarga yang berpindah ke 11
pusat pemindahan daerah itu diikuti daerah Kemaman 98 mangsa (24 keluarga),
Dungun 87 mangsa (20 keluarga) dan Setiu 23 mangsa (enam keluarga).
Sementara
itu, Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood berkata walaupun jumlah
mangsa semakin berkurangan, semua petugas dan sukarelawan JKM masih dalam
keadaan bersedia ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Alhamdulillah,
petang tadi satu daerah tidak lagi terjejas akibat banjir iaitu Besut.
"Ketika
ini, 150 petugas JKM Terengganu masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan untuk
membantu mangsa agar mereka selesa sepanjang berada di situ.
"Seramai
40 sukarelawan JKM Terengganu turut membantu petugas di pusat pemindahan untuk
memastikan semua mangsa mendapat keperluan yang secukupnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata pengendalian pengurusan bencana yang diambil alih
oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada Majlis Keselamatan
Negara (MKN) berkesan dalam menangani masalah banjir di Pantai Timur.
Dengan menjadikan banjir di Kemaman pada 2014 sebagai acuan
untuk menjalankan simulasi menghadapi bencana, NADMA berjaya meningkatkan
kecekapan untuk menguruskan situasi berkenaan.
Dr Ahmad Zahid berkata pengambilalihan pengurusan
koordinasi bencana oleh NADMA daripada MKN membolehkan pemantauan lebih awal dilakukan
dengan lebih tersusun.
Malah pengwujudan sekretariat di peringkat pusat, negeri,
daerah, mukim dan kampung membantu melancarkan lagi prosedur pengurusan bencana
di negara ini.
"NADMA melakukan koordinasi dengan agensi penyelamat
dan penguatkuasaan supaya amaran awal dapat diberikan bagi memudahkan proses
pemindahan mangsa dijalankan sebelum bencana mengancam nyawa dan harta,"
katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika melawat Pusat Pemindahan
Banjir Kampung Bukit Tadok, di Kuala Berang semalam.
Dr Ahmad Zahid berkata, banjir yang lebih serius di
Terengganu berbanding Kelantan dan Pahang tahun ini berkemungkinan ada kaitan
dengan perubahan iklim, namun dapat diatasi dengan baik oleh NADMA.
Beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad
Razif Abd Rahman meluangkan masa selama lebih satu jam untuk beramah mesra
bersama lebih 50 mangsa banjir yang ditempatkan di lokasi ini.
Beliau yang tiba kira-kira jam 6.15 petang dengan menaiki
bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana laluan di lokasi ditenggelami air turut
memberikan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.
No comments:
Post a Comment