Tuesday, May 23, 2017

UMNO Sanggup Jual Tanah Rizab Melayu Kepada Bukan Melayu?


Jika tidak benar ambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa kononnya UMNO gadai tanah Rizab Melayu kepada bukan Islam.

Pemimpin UMNO Terengganu perlu bertanggungjawab dan jangan berdiam diri.

Dakwaan UMNO Terengganu gadai tanah Rizab Melayu ini serius.

Ia menuntut jawapan dan pemimpin UMNO sewajarnya ada pencerahan, paling tidak pun daripada pemimpin Hulu Terengganu kalaupun tidak Menteri Besar Terengganu.

Datuk Seri Ahmad Razif akan mudah menjawab soalan ini dengan kata-kata bahawa beliau tidak tahu.

Malah perkara ini berlaku ketika belum menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, itu jawapan mudah untuk ‘melarikan diri’.

Kelmarin, Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu Haji Muhyidin bin Abdul Rashid menegasskan Umno kelihatan seperti hilang akal dan tidak mampu fikirkan masa depan orang Melayu dan Islam sehingga sanggup menggadaikan harta dan maruah orang Melayu kepada bukan Islam.

Tindakan itu  akibat ketamakan dan kerakusan pemimpin UMNO.

Muhyiddin mendakwa selepas UMNO mengambil alih kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2004, parti itu telah menukar milik satu bidang tanah di hadapan pejabat pos Kuala Berang daripada Tanah Rizab Melayu kepada tanah pegangan bebas.

Tanah itu  diberikan kepada syarikat milik bukan Melayu dan penyokong DAP.

“Semua tanah di daerah Hulu Terengganu adalah Rizab Orang Melayu, tapi malangnya orang UMNO tidak nampak ia sebagai aset hingga sanggup gadaikan kepada orang bukan islam," kata beeliau,

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Perdana Sempena Himpunan Harapan Rakyat-PAS Ganti UMNO (Harap-PGU) 3.6 di Kampung Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu, kelmarin.

Tambahnya lagi syarikat tersebut telah membina satu bangunan empat tingkat dan 16 unit kedai yang berharga RM1.5 juta untuk satu unit.

“Syarikat tersebut telah membahagikan lapan unit kedai kepada bukan Islam manakala lapan lagi kepada pemimpin umno atau mungkin proksi UMNO.

“Buat bangunan yang setiap satu unit bernilai RM1.5 juta. Siapa yang mampu beli? Tanah ini bebas untuk dibeli sesiapa sahaja… kita tengoklah 1,2 tahun lagi siapa yang memiliki tanah ini”, tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden PAS  Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Azariza Mohd Alawi.