Wednesday, July 5, 2017

Tawar 5900 Lot Tanah – Helah Ahmad Razif Untuk Undi...


PAS menyifatkan tindakan kerajaan Terengganu yang dikawal UMNO begitu takut kepada pembangkang dengan meniru bulat-bulat antara manifesto awal yang ditawarkan oleh PAS Terengganu.

PAS Terengganu yang sangat masak dengan tipu helah UMNO, menyeru kepada semua lapisan masyarakat yang menepati syarat-syarat yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mendapatkan lot tanah,  tidak terpengaruh dengan janji berkenaan.

PAS meminta rakyat yang pernah menjadi mangsa UMNO apabila rampas tanah mereka dahulu, untuk ramai-ramai segera pergi ke Pejabat Tanah di seluruh Terengganu bagi memastikan sendiri bagaimana permainan UMNO ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah berkata semalam, janji manis PRU14 sedang  ditabur oleh UMNO yang berselindung disebalik nama kerajaan Terengganu dengan mengumumkan membuka permohonan bagi 5900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman.

“Sangat menghairankan kenapa setiap kali hampirnya PRU akan ada janji-janji menggunakan nama kerajaan yang mana wang dan keseluruhan harta itu sebenarnya milik rakyat.

“Kerana jika kerajaan bertukar sekalipun, kerajaan yang lain pula yang akan menguruskan amanah ini., bukan hanya diuruskan oleh UMNO.


Lebih memualkan ialah UMNO yang berselindung di sebalik nama kerajaaan inilah yang telah merampas kembali pemberian tanah-tanah TOL kepada rakyat oleh kerajaan pimpinan PAS tahun 1999-2004 dahulu tanpa belas ihsan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, UMNO sanggup merobohkan bukan sahaja rumah rakyat yang sedang dibina dengan wang titik peluh mereka. Malah lebih zalim, kejam dan jahil, UMNO atas nama kerajaan, turut meruntuhkan Masjid Bujal di Kijal.

“Saya yakin rakyat Terengganu sedar dengan gula-gula beracun UMNO ini kerana PAS yang mengamalkan politik Islam, telah membuktikan pada era pemerintahan PAS di Terengganu, kira-kira 60 ribu permohonan tanah telah diluluskan bagi diagihkan kepada rakyat Terengganu.

“Tidak cukup dengan jurukur kerajaan, dilantik pula dari kalangan swasta sehinggakan mendebarkan UMNO kerana rakyat beroleh kesenangan.

PAS mengotakan janji bukan sahaja atas manifesto yang dibuat sebelum PRU ketika itu, malah turut meluluskan permohonan yang UMNO janjikan (setelah banyak kali mengugut rakyat) mahu diluluskan kepada rakyat, tanpa PAS menunggu hampir PRU untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, jumlah yang UMNO janjikan ini (belum tentu ditunaikan) hanya 10% dari keseluruhan kelulusan oleh kerajaan pimpinan PAS ketika itu, dakwa Md Nor.

Paling menggembirakan rakyat ialah pemberian itu bersekali dengan geran kekal bagi yang sempat diberikan.

“Percayalah rakyat Terengganu, setelah rumah flat di Ladang yang dijanjikan diberikan secara sewa beli, kemudian ditukar status sewa, flat di Padang Hiliran yang diugut supaya dimenangkan dahulu UMNO di Kuala Terengganu serta flat rakyat yang UMNO rancang didirikan di Bukit Nenas Tepoh, mereka pasti akan menggunakan hal ini sebagai modal besar untuk memperbodohkan rakyat Terengganu.

“Penerimanya pastilah sebahagian penyokong mereka sahaja walaupun mereka juga menunggu bertahun-tahun sambil dibodohkan UMNO.

Cukuplah, sedarlah rakyat Terengganu akan gula-gula beracun yang diberikan UMNO setiap kali PRU, akan memusnahkan negeri Terengganu ini,’ katanya.

Ini  kerana apabila mendapat kembali kuasa, maka UMNO akan menggila semula membolot hasil bumi Terengganu sebagaimana yang berlaku masa lalu dan sekarang ini, katanya.