Friday, September 1, 2017

Pelancong Kaya Seronok di Terengganu, Peniaga Makin Rugi


"Peniaga dan pengurusan hotel percaya kerajaan negeri tidak cukup berusaha melakukan sesuatu untuk membawa masuk pelancong bermalam di negeri itu dan berbelanja di Kuala Terengganu."


SEKTOR pelancongan di Terengganu kelihatannya seperti sangat maju ketika cuti musim panas sedang berlangsung.

Resortnya di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah yang menghadap hamparan laut biru jernih airnya, penuh sesak dengan pelancong Eropah, China dan juga rakyat Malaysia yang berkemampuan.

Tetapi di ibu negerinya Kuala Terengganu, penjual batik dan cenderamata seperti Abdul Manaf Omar, 48, keuntungan daripada perniagaannya semakin mengecil dan pelanggan pula berkurangan bulan demi bulan.

“Hanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum saja ada orang masuk ke kedai saya. Dan saya boleh dianggap bertuah kerana kedai di Pasar Payang ini tempat tumpuan umum yang terkenal,” katanya yang ditemui di gerainya.

Perbezaan itu terlihat dalam angka pelancongan Terengganu yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi negeri.

Pada 2015, ia merekodkan pertumbuhan 12.6% dalam kalangan pelancong asing jika dibandingkan hanya 3% bagi pengunjung domestik.

Ia juga perbezaan yang menunjukkan kesan tidak sama rata daripada ekonomi lemah terhadap kelas pendapatan berbeza, sama seperti bagaimana pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan baru-baru ini tidak dirasai oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Penurunan pelancong domestik akan mencabar sasaran kerajaan Terengganu untuk memperoleh pendapatan selain daripada hasil minyak dan gas serta menjadikan sektor itu penyumbang terbesar hasil negeri.

Jadi walaupun destinasi dan hotel yang menyasarkan pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia kaya dan pelancong asing menyaksikan peningkatan, perniagaan yang bergantung pada pelancong domestik semata-mata, tidak berkembang.

Perlumbaan kapal layar Monsoon Cup contoh terbaik. Hotel mewah di Kuala Terengganu seperti resort Ri Yaz Heritage and Spa dan Duyong Marina Resort, memperoleh pecahan pendapatan terbesar ketika acara itu.

Sektor lebih kecil seperti restoran, kedai dan malah teksi juga hanya dapat sedikit pertambahan pendapatan ketika kejohanan selama sebulan itu.

Kumpulan itu, di mana termasuk kedai menjual pakaian dan makanan dengan kumpulan sasar rakyat Malaysia, berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan inflasi menyebabkan jualan menurun.

Kerajaan juga punca kekecewaan mereka tetapi atas alasan yang berbeza. 

Peniaga dan pengurusan hotel percaya kerajaan negeri tidak cukup berusaha melakukan sesuatu untuk membawa masuk pelancong bermalam di negeri itu dan berbelanja di Kuala Terengganu.

Satu lagi ialah, pemotongan bajet kerajaan untuk mengadakan latihan kakitangan menyebabkan seminar dan bengkel yang diadakan di Terengganu berkurangan menyebabkan kejatuhan besar bilangan pengunjung domestik.

Seorang lagi penjual batik, Wan Mohamad Yusof Wan Awang, 59, berkata jualan semakin teruk sejak tiga hingga empat tahun lalu, pada masa sama kerajaan memperkenalkan GST dan memotong bajet untuk penganjuran latihan.

“Dulu, kerajaan selalu buat bengkel latihan guru di Terengganu. Bila guru datang sini, mereka akan habiskan masa setengah hari beli-belah di Pasar Payang,” katanya.

Manaf berkata apabila nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kain untuk membuat batik jadi lebih mahal kerana terpaksa diimport dari China dan Indonesia.


“Jadi pengeluar terpaksa menaikkan harga borong kepada kami dan ada yang kenakan GST.

Kami tidak boleh naikkan harga kepada pelanggan kerana jualan akan jatuh. Jadi kami serap kos yang lebih tinggi itu,” katanya.