Friday, November 17, 2017

Bas Amphibia Guna Wang Rakyat- Syed Azman Persoal Ahmad Razif


Ahli Dewan Undangan Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi  mempersoalkan kenapa baru sekarang (November 2017) Kerajaan Negeri bertindak memberi kata dua kepada pembekal Bas Amphicoach  (Bas Amphibia).

Menghairankan apabila sebelum ini kerajaan negeri telah berkali-kali  ‘menjanjikan’  kepada rakyat Terengganu bahawa bas ‘dua alam’ ini akan tiba sejak dari tahun 2015 lagi.

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif sendiri telah membuat kenyataan terbuka pada March 2017 bahawa bas tersebut akan tiba pada Jun 2017.

"Apakah hal ini sesuatu yang boleh dianggap remeh walhal kos pembelian setiap buah bas tersebut mencecah tiga (3) juta ringgit  sebuah, yang mana kos tersebut melibatkan penggunaan wang rakyat?" tanya beliau.

Beliau  difahamkan urusan pembelian bas amphicoach ini telah diselenggarakan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Kebudayaan Negeri Terengganu.

Beliau mendesak Menteri Besar memberi penjelasan  kepada seluruh rakyat Terengganu, 
adakah pembelian bas ini dibuat secara terus oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan syarikat pembekal tersebut melalui agensi kerajaan tertentu atau kerajaan negeri telah melantik syarikat perunding swasta untuk menguruskan pembelian bas ini?

Menteri Besar Terengganu juga perlu menyatakan jumlah sebenar wang kerajaan negeri Terengganu yang telah dibayar kepada syarikat pembekal tersebut bagi pengetahuan rakyat Negeri Terengganu?

"Hal ini sangat penting diberi penjelasan secara terbuka untuk pengetahuan seluruh rakyat Negeri Terengganu. Ini kerana telah beberapa kali janji yang ditaburi oleh pihak kerajaan kepada seluruh rakyat negeri Terengganu bahawa bas dua alam ini akan tiba di Negeri Terengganu bermula pada tahun 2015 namun hingga kini bas tersebut tidak kunjung tiba," tegasnya.


Pada 2 Mac 2017 lalu, ADUN berkenaan  membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Kuala Terengganu mengenai *‘kehilangan’* Bas dua alam ini.

"Pihak kerajaan negeri juga telah mengadakan lawatan ke kilang bas yang dihasilkan di Malta itu pada tahun 2014. Manakala kos pembelian berdasarkan harga kilang setiap sebuah bas itu menelan belanja kira-kira  *600,000 euro atau kira-kira RM3 juta sebuah," tegasnya.

Pembelian Bas ‘Dua Alam’ amphicoach ini diilhamkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu bas ini digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu.

Syed Azman menyatakan beliau terkejut terhadap kenyataan Menteri Besar Terengganu,itu  yang memberi kata dua kepada pembekal Bus Amphicoach” (Bas Amfibia).

Kata dua yang dibuat pada 12 November lalu meminta pembekal itu membuat penghantaraan kenderaan berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini (November).

Kata Menteri Besar, sekiranya gagal pembekal itu akan berdepan dengan tindakan saman daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahmad Razif dilaporkan berkata; *“Berkenaan bas amfibia sehingga kini kita belum lagi terima dan kita beri kata dua kepada pembekal untuk hantar bas berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini...Bas itu sudah siap dan masih berada di Malta namun saya difahamkan ada masalah penghantaran. Ini soal pembekal, bukan soal kita”.*


Menurut beliau, ketika musim tengkujuh, bas amphicoach boleh digunakan untuk memindahkan penduduk terjejas banjir di kawasan yang tidak berarus deras ke tempat yang lebih selamat. Kenderaan tersebut adalah buatan Malta yang dapat digunakan di darat dan di air. Kenderaan berbentuk seperti bas itu mampu memuatkan 50 orang penumpang pada satu masa dengan kelajuan mencecah lapan knot di dalam air.

Sebelum ini bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said juga memaklumkan ADUN-ADUN di sidang Dewan Undangan Negeri bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk membeli dua buah kenderaan terbabit yang bernilai RM6 juta kerana  mempunyai pelbagai fungsi yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu.

Ahmad Razif dalam satu kenyataan pada 28hb Disember 2014 berkata, pihak kerajaan negeri menjangkakan bas Amphicoach yang telah ditempah itu akan dapat beroperasi pada tahun 2015. 

Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan bas itu hanya boleh digunakan pada tahun 2015 memandangkan kilang pengeluar di Malta mmerlukan  lapan bulan untuk membinanya mengikut rekaan dan spesifikasi yang dikehendaki.

Kerajaan negeri telah membayar deposit 50 peratus dan harga yang dipersetujui ketika rundingan ialah sebanyak 600,000 euro (RM 3 juta)  untuk sebuah amphicoach”…."Kita jangka akan menerima amphicoach itu pada Mei tahun depan (2015) yang akan diserahkan oleh Menteri Malta,"* katanya sebelum ini.

Dalam satu kenyataan pada 18hb Mei 2015, bekas Exco Pelacongan Datuk Mohd Jidin Shafee memberi jaminan bahawa kenderaan bas amfibia (amphicoach) yang telah ditempah pada tahun 2014 bagi kegunaan pelancongan selain membantu menyelamatkan mangsa banjir dijangka diterima akhir Ogos 2015.


Begitu juga dengan jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh pihak exco kerajaan negeri setiap kali hal ini ditimbulkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Perinciannya bersifat  *'kabur'* dan tidak dapat menjelaskan kedudukan sebenar status bas yang telah dibeli pada tahun 2014 itu.