Saturday, September 15, 2018

Tidak Mampu Bayar Gaji - Jawablah Kerajaan PAS Terengganu!


Sejauh mana kebenaran laporan Terenganukini semalam mengenai kemungkinan kerajaan PAS Terengganu tidak mampu bayar gaji kakitangan kerajaan negeri Terengganu tidaklah dapat dimuktamadkan.

Namun persoalan yang wajar dijawab oleh kerajaan negeri, sama ada oleh Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri atau paling tidak Pegawai Kewangan Negeri ialah apakah benar ‘kocek perbendaharaan negeri’ kini kering kontang?

Jika benar, banyak mana dan berapa lama kerajaan negeri Terengganu mampu bertahan?

Apakah mereka mampu bertahan jika Petronas tidak menyerahkan royaltI petroleum pada pertengahan atau akhir bulan September 2018 ini?

Sejauh ini kerajaan PAS Terengganu tidak pernah mendedahkan berapa banyak dana yang ditinggalkan oleh bekas pemerintah – Barisan Nasional – yang memerintah Terengganu dari 2004 hingga 9 Mei 2018 lalu.

Dengan menerima wang royalti yang begitu banyak – anggaran RM2 bilion setahun – dengan projek yang runtuh, tidak berdaya maju, separuh siap, membazir dan sedikit yang memanfaatkan rakyat, PAS wajar melakukan audit secara telus dan menyatakan jumlah yang ditinggalkan.

Atau apakah PAS bimbang untuk melakukannya bimbang jika ia kalah pada Pilihan Raya ke-15 nanti, perkara sama akan dilakukan oleh kerajaan baru?

Tersebar berita bahawa kerajaan BN yang ditadbir Datuk Seri Ahmad Razif – Mei 2014 hingga Mei 2018 – tidak meninggalkan dana yang banyak untuk kerajaan PAS Terengganu.

Malah dikatakan wang simpanan khas hasil petroleum yang diwajibkan juga 'kering kontang' digunakan sepenuhnya. Kerajaan PAS sekarang boleh mengesah atau menolak dakwaan ini.

Malah dikatakan Menteri Besar itu memberikan arahan supaya kerajaan negeri berbelanja apa sahaja yang ada untuk menjamin kemenangan BN Terengganu selain tidak meninggalkan apa-apa kepada kerajaan baru apabila banyak ramalan dibuat bahawa BN akan kalah pada PRU-14.


Hasilnya akibat tidak sehaluan dengan Putrajaya, PAS terpaksa menanggung beban dan laporan Terengganukini ada kebenaran apabila memang berlaku kejadian jabatan-jabatan kerajaan terpaksa berjimat cermat.

Malah, tidak mampu membayat tuntutan kakitangan walaupun RM50 pada kadar segera kerana tidak ada petty-cash adalah berita benar.

Kerana itu kerjaan PAS Terengganu jangan mahu melindungi bekas kerajaan – BN dan Menteri Besarnya – mengenai jumlah sebenar wang yang ditinggalkan.
Juga kerajaan PAS Terengganu perlu telus menyatakan berapa pendapatan dan daripada mana ia dijana antara Mei hingga akhir September 2018 untuknya berbelanja bagi pentadbiran dan pembangunan.

Jika tiada wang untuk pentadbiran dan pembangunan, apa untungnya rakyat Terengganu mengundi PAS sebagai pemerintah?

Rakyat Terengganu boleh dianggap BIJAK dalam membuat perhitungan untuk menukar kerajaan tetapi mereka terkhilaf – menukar dan menumbangkan BN dan menggantikannya dengan PAS.

Mungkin mereka belum selesa atau biasa dengan pembangkang lain – Pakatan Harapan yang diterajui AMANAH menggunakan symbol PKR di Terengganu.

Kesannya, kerajaan PAS yang dipilih tidak sehaluan dengan Kerajaan Posit dan rakyat Terengganu yang tinggal di Terengganu menjadi mangsa.

Yang pulang mengundi PAS dan kemudian kembali ke Pantai Barat untuk mencari rezeki tidak merasa kesannya.

Malang bagi yang tinggal di Terengganu kerana sekiranya ekonomi Terengganu tidak berkembang, kuasa membeli yang semakin mengecil dan pembangunan tidak berlaku seperti diharapkan, harapan rakyat Terengganu akan berkecai.

Pemimpin PAS boleh menyalahkan kerajaan Pusat agar tidak dipersalahkan oleh rakyat, namun bagi rakyat – khususnya yang mengundi PAS – kepada siapa mereka mahu mengadu?

Inilah kesan segera hasil keputusan salah yang dibuat oleh sebahagian besar rakyat Terengganu yang terpaksa menunggu tiga atau empat tahun lagi untuk membolehkan mereka menukar kerajaan.

Dan sementara ini? Tunggulah apa yang mampu dilakukan oleh pemimpin PAS yang menjalankan pentadbiran kerajaan negeri yang semakin tertekan.

No comments:

Post a Comment