Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam,
PAS menang pada 1999 dengan majoriti 5,760
dan menurun kepada 1,888 pada 2004, bertambah pula kepada 2,193 pada 2008.
Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, ADUNnya, Mohd
Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,986 undi, suatu peningkatan dan menjadi
antara penyumbang kepada PAS untuk menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Tidak dapat dinafikan kemenangan calon PAS ketika itu
yang kini berpindah ke Parti Amanah Nasional (PAN), Raja Kamarul Bahrin Raja
Ahmad menang juga daripada undi penyokong PAS di DUN Wakaf Mempelam.
Kali ini daripada pengumuman Pakatan Harapan (PH) akan
turut bertanding di DUN itu, kerusi DUN itu kini nampaknya
akan berlaku pertandingan tiga (3) penjuru. Itu jika tiada calon BEBAS.
Sudah pasti PAS akan mempertahankan kerusi berkenaaN,
apalagi ia salah satu daripada ‘fixed-deposit PAS’ sejak pilihan raya umum 1990.
Siapa pun tidak boleh mempertikaikan kemampuan dan
kelebihan yang ada pada ADUN PAS, Abdul Wahid Endut di kawasan itu.
Cuma pada Pilihanraya Umum ke-14 kali ini siapa daripada
PH akan bertanding di kerusi berkenaan?
Bersandarkan formula PH yang mengatakan kerusi PAS akan
ditandingan oleh PAN, tidak mungkin dan tidak akan berlaku sama sekali bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan
PKR akan bertanding di situ.
Khabar angin bertiup kencang bahawa kerusi itu akan pasti
sekali ditandingi oleh PAN selain Barisan Nasional (BN).
Atau apakah akan berlaku pertukaran di saat-saat akhir di mana PAN akan memberi laluan kepada parti lain?
Belum jelas siapa individu bertanding di kerusi berkenaan
kerana nama calon belum diumumkan oleh mana-mana parti pun.
Walaupun sudah ada individu turun padang sejak dua tahun
lalu, namun di pihak PH belum jelas siapa akan dijadikan calonnya di
situ. Yang pasti tidak akan berlaku dua penjuru.
Dalam konteks PAS, menurut Buletin Online, Majlis
Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam sudah bersiap sepenuhnya bagi menghadapi PRU14.
ADUN PAS, Abdul Wahid Endut berkata, 10 daripada 12 Unit
Peti Undi (UPU) telah pun digerakkan sepenuhnya.
Persoalannya, apakah parti dari PH yang mahu bertanding
mempunyai jentera dan pekerja untuk Peti Daerah Mengundi (PDM) di kawasan
berkenaan?
Daripada UMNO, sudah pasti mereka sudah mengenal pasti siapa calon mereka.
Cuma kemungkinan besar Wan Mahyuddin Wan Ngah tidak diletakkan sekali lagi.
Apakah PH sudah bersedia atau setidak-tidaknya sedang
membuat persediaan?
Atau mereka bergerak secara senyap dan akan diumumkan
apabila Parlimen dibubarkan?
Kata Abdul Wahid, pihaknya sudahpun melancarkan semua
markas pilihan raya dalam kawasan itu
dan hanya tinggal dua lagi masih belum.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran
Markas UPU Kuala Bekah pada 11
Januari 2018.
Katanya, ini bukan ‘satu gimik’ semata-mata bahkan ahli dan
penyokong PAS pasti bersiap siaga untuk mempertahankan kemenangan seterusnya
mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Terengganu..
Majlis ini yang di hadiri oleh 100 petugas itu turut
dihadiri oleh Naib Yang DiPertua PAS kawasan Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad
Hashim.
Bagi PH, kerusi Wakaf Mempelam pastinya mungkin sedang mencongak untuk meletakkan calonnya sama ada daripada PAN.
PPBM dan PKR tidak membayangkan mereka akan bertanding di
situ. Tiada dalam fikiran pemimpin PPBM dan PKR negeri akan meletakkan calon
mereka di DUN berkenaan.
Jika ada telahan PPBM dan PKR berbuat demikian. Ia bukan
boleh dibuat gurauan!
Yang pasti dua parti lagi – PAS dan UMNO – tidak akan
menang mudah melalui pertembungan tiga penjuru ini.
Walaupun dikatakan Abdul Wahid tidak akan
mempertahankan kerusi berkenaan pada
PRU14 kerana masalah kesihatan, PAS dilihat akan menjamin kerusi berkenaan
tidak mudah jatuh kepada BN atau PH.
Untuk rekod, Abdul Wahid menjadi ADUN sejak 1990 hingga
sekarang.