Sunday, January 14, 2018

Wakaf Mempelam – PAS Jangan Berangan Dapat Laluan Mudah...


Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, PAS menang pada 1999  dengan majoriti 5,760 dan menurun kepada 1,888 pada 2004, bertambah pula kepada 2,193 pada 2008.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, ADUNnya, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,986 undi, suatu peningkatan dan menjadi antara penyumbang kepada PAS untuk menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Tidak dapat dinafikan kemenangan calon PAS ketika itu yang kini berpindah ke Parti Amanah Nasional (PAN), Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad menang juga daripada undi penyokong PAS di DUN Wakaf Mempelam.

Kali ini daripada pengumuman Pakatan Harapan (PH) akan turut bertanding di DUN itu, kerusi DUN itu  kini nampaknya akan berlaku pertandingan tiga (3) penjuru. Itu jika tiada calon BEBAS.

Sudah pasti PAS akan mempertahankan kerusi berkenaaN, apalagi ia salah satu daripada  ‘fixed-deposit PAS’ sejak pilihan raya umum 1990.

Siapa pun tidak boleh mempertikaikan kemampuan dan kelebihan yang ada pada ADUN PAS, Abdul Wahid Endut di kawasan itu.

Cuma pada Pilihanraya Umum ke-14 kali ini siapa daripada PH akan bertanding di kerusi berkenaan?

Bersandarkan formula PH yang mengatakan kerusi PAS akan ditandingan oleh PAN, tidak mungkin dan tidak akan berlaku sama sekali bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR akan bertanding di situ.

Khabar angin bertiup kencang bahawa kerusi itu akan pasti sekali ditandingi oleh PAN selain Barisan Nasional (BN).

Atau apakah akan berlaku pertukaran di saat-saat akhir di mana PAN akan memberi laluan kepada parti lain?

Belum jelas siapa individu bertanding di kerusi berkenaan kerana nama calon belum diumumkan oleh mana-mana parti pun.

Walaupun sudah ada individu turun padang sejak dua tahun lalu, namun di pihak PH belum jelas siapa akan dijadikan calonnya di situ. Yang pasti tidak akan berlaku dua penjuru.

Dalam konteks PAS, menurut Buletin Online, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam sudah  bersiap sepenuhnya bagi menghadapi PRU14.

ADUN PAS, Abdul Wahid Endut berkata, 10 daripada 12 Unit Peti Undi (UPU) telah pun digerakkan sepenuhnya.

Persoalannya, apakah parti dari PH yang mahu bertanding mempunyai jentera dan pekerja untuk Peti Daerah Mengundi (PDM) di kawasan berkenaan?

Daripada UMNO, sudah pasti mereka sudah mengenal pasti siapa calon mereka.

Cuma kemungkinan besar Wan Mahyuddin Wan Ngah tidak diletakkan sekali lagi.


Apakah PH sudah bersedia atau setidak-tidaknya sedang membuat persediaan?

Atau mereka bergerak secara senyap dan akan diumumkan apabila Parlimen dibubarkan?

Kata Abdul Wahid, pihaknya sudahpun melancarkan semua markas pilihan raya  dalam kawasan itu dan  hanya tinggal dua lagi masih belum.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Markas UPU Kuala Bekah pada 11  Januari 2018.

Katanya, ini bukan  ‘satu gimik’ semata-mata bahkan ahli dan penyokong PAS pasti bersiap siaga untuk mempertahankan kemenangan seterusnya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Terengganu..

Majlis ini yang di hadiri oleh 100 petugas itu turut dihadiri oleh Naib Yang DiPertua PAS kawasan Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim.

Bagi PH, kerusi Wakaf Mempelam pastinya mungkin  sedang mencongak  untuk meletakkan calonnya sama ada daripada PAN.

PPBM dan PKR tidak membayangkan mereka akan bertanding di situ. Tiada dalam fikiran pemimpin PPBM dan PKR negeri akan meletakkan calon mereka di DUN berkenaan.

Jika ada telahan PPBM dan PKR berbuat demikian. Ia bukan boleh dibuat gurauan!

Yang pasti dua parti lagi – PAS dan UMNO – tidak akan menang mudah melalui pertembungan tiga penjuru ini.

Walaupun dikatakan Abdul Wahid tidak akan mempertahankan  kerusi berkenaan pada PRU14 kerana masalah kesihatan, PAS dilihat akan menjamin kerusi berkenaan tidak mudah jatuh kepada BN atau PH.

Untuk rekod, Abdul Wahid menjadi ADUN sejak 1990 hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment