Satiful (kiri) dan ketuanya, Datuk Husein Awang. |
Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Pada akhir Januari 2017 Satiful Bahari Mamat, yang ketika
itu Pesuruhjaya PAS Terengganu mengatakan di Terengganu, pilihan pada pilihan
raya umum ke-14 (PRU14) hanya antara PAS dan UMNO.
Setahun seleps itu, semalam (27 Januari 2018), beliau
bukan sahaja mengulangi kata-katanya itu tetapi turut menambah bahawa Pakatan HARAPAN
(HARAPAN) sebagai ‘kacau daun’.
Satiful yang kini ‘diturunkan pangkat’ kepada Timbalan
Pesuruhjaya I PAS Terengganu, mendakwa parti-parti dalam HARAPAN itu sebenarnya sedar
bahawa mereka tidak akan meraih kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU1)
kali ini.
Sebaliknya penyertaan mereka dalam HARAPAN hanyalah untuk untuk memecahkan undi PAS khususnya di
negeri ini.
Sebelum ini dengan penuh keyakinan beliau mengatakan
rakyat Terengganu termasuk orang Cina hanya punyai pilihan antara PAS atau BN/UMNO
sahaja untuk berdepan PRU14 akan datang.
Namun kini, beliau goyah dan dengan sokongan rakyat
Terengganu dan orang Cina yang semakin kuat kepada HARAPAN, beliau terpaksa
memperlekehkan HARAPAN kononnya hanya mahu ‘kacau daun’.
Amat nyata, Satiful masih tidak dapat menerima hakikat
bahawa kehadiran HARAPAN bukan sekadar menggugat BN/UMNO tetapi dengan
sendirinya PAS.
Satiful masih berkhayal jika mengatakan kehadiran HARAPAN
bertujuan ‘kacau daun’.
Ini kerana HARAPAN bersedia untuk menmgambil alih tampuk
kepimpinan kerajaan negeri Terengganu dan menawarkan kepada kerajaan pakej
pentadbiran, kemajuan dan kemakmuran jauh lebih baik daripada apa yang
difikirkan oleh pemimpin BN/UMNO dan PAS.
Malah, tawaran yang akan diumumkan oleh HARAPAN mengatasi
Manifesto PAS yang sudah awal-awal diumumkan oleh parti yang Satiful pimpin di
Terengganu.
Apakah bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berpendapat
kehadiran HARAPAN akan menggugat kemenangan kepada partinya?
Tidakkah beliau melihat kekuatan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) , PKR dan AMANAH yang semakin kukuh di Terengganu akan turut
menggugat dua parti tertua – PAS dan UMNO di Terengganu?
Malah MCA dan PAS
yang dijangka bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar
yang akan dipertahankan oleh HARAPAN melalui PKR, juga akan berdepan masalah.
Orang Cina Bandar pasti akan menolak PAS kerana
gelagatnya dalam isu RUU355 sementara MCA pula ditolak kerana ia memperjuangkan
kepentingan kumpulan kecil orang Cina di bandar raya Kuala Terengganu.
Dalam Bajet 2018 pula, kerajaan negeri langsung tidak
menyebut apa yang ditawarkan kepada orang Cina di Terengganu. BN/UMNO sudah
melupakan orang Cina yang dianggap
terlalu minoriti di negeri ini.
Awal tahun lalu Satiful bayangkan akan berdepan dengan
AMANAH, PKR dan DAP dalam PRU14.
Namun ramalannya meleset kerana kehadiran PPBM ternyata
memperkuatkan HARAPAN khususnya di lima kawasan Parlimen – Besut, Setiu, Hulu
Terengganu, Kemaman dan Kuala Nerus.
Semalam juga, Satiful
dengan bangganya mengatakan PAS begitu kuat dan mengganggap
HARAPAN lemah dari segi jentera akar umbi dan undi yang terpecah.
Namun demikian beliau mengakui ini akan merugikan PAS
walaupun ia mungkin melibatkan jumlah yang sedikit.
Telahan Satiful ini nampaknya mungkin ditumpukan kepada
kehadiran AMANAH semata-mata.
Namun Satiful lupa bahawa HARAPAN yang menentang
kleptokrasi yang dijuarai oleh Barisan Nasional(BN)/UMNO dan mendapat sokongan
dari belakang oleh PAS, adalah satu gabungan mantap tiga parti utama
di negeri ini.
Bukan sekadar itu sahaja. Kesempitan dan tekanan hidup
serta pembangunan yang membazir dan tiris diamalkan oleh BN/UMNO sudah membuka
mata rakyat untuk menolak mereka.
Dengan sikap ‘flip-flop PAS’ di Terengganu dan Malaysia
amnya, rakyat Terengganu tidak boleh menerima mereka sebagai pemerintah.
Kegagalan PAS memerintah antara 1999 hingga 2004 juga
menyedarkan rakyat untuk menolak PAS dan Satiful jangan lupa kerana beliau
antara pemimpin yang berada dalam pasukan ‘pemerintahan yang gagal di
Terengganu’ apabila ditumpaskan oleh BN/UMNO mulai tahun 2004.