Saturday, April 14, 2018

BENARKAH NAJIB DAN KERAJAAN BN SEDANG MEMANIPULASI PRU14?


Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Apakah taktik manipulasi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah lama dihidu dalam dan luar negara?
Walaupun ia dianggap suatu pembohongan tetapi keberanian sebuah akhbar republik Indonesia, The Jakarta Post – melalui rencana pengarangnya – yang sanggup menyebut perkara itu membayangkan betapa manipulasi pilihan raya kemungkinan sedang berlaku di Malaysia.
Apakah pemimpin kerajaan, khususnya BN menganggap akhbar negara jiran itu sebagai melanggar Akta Antiberita Tidak Benar 2018?
(Akta mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea).
Persoalan juga ialah apakah benar tuduhan terhadap akhbar itu bahawa rencana pengarang itu sengaja disiarkan bagi menjual berita semata-mata?
Di sebalik itu, apakah bukan suatu kebenaran bahawa manipulasi sebenarnya semakin berlaku di Malaysia?
Jika ditanya pembangkang, mereka bersetuju manipulasi pilihan raya sedang berlaku secara berleluasa sejak beberapa bulan lalu. Malah ia bagaikan tiada kuasa  untuk melakukan sekatan terhadapnya.
Kerana itu pertanyaan bahawa penulisan itu suatu rencana yang bercirikan kepalsuan bukan sesuatu yang mudah untuk ditolak atau ditepis begitu sahaja oleh rakyat.
Ini kerana walaupun rencana pengarang akhbar berkenaan boleh dianggap sebagai ‘berita tidak benar’ dan  bersifat tuduhan serta  tidak berasas untuk mengaibkan demokrasi Malaysia, jika diteliti dengan mendalam,  ternyata wujud beberapa fakta ke arah kebenarannya.
Dalam satu  artikel The Jakarta Post bertajuk “Truly ASEAN” bertarikh 10 April 2018, akhbar itu mendakwa Najib ‘serupa dengan bekas presiden Indonesia Suharto’, yang mengamalkan taktik manipulasi.
The Jakarta Post dalam ruangan lidah pengarangnya mengatakan bagi  rakyat Indonesia, taktik yang digunakan oleh Najib Razak untuk memenangi pilihan raya umum akan datang mengingatkan kepada helah bekas Presiden Indonesia Suharto ketika 32 tahun pemerintahannya.

Perlu diingat, lidah pegarang adalah suara rasmi sesebuah akhbar.  Ia juga adalah pendirian rasmi The Jakarta Post.
Namun kenapa  akhbar berkenaan berani membuat pendirian pada ketika ia tahu risiko yang dihadapinya?
Sidang pengarang (redaksi) akhbar berkenaan sudah pasti tahu ‘bahana menanti mereka’ yang akan mendatangkan berbagai tindakan belas dan kesan buruk dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Soalnya,  kenapa mereka berani mengatakan bahawa pilihan raya akan dimanipulasi oleh kerajaan dan parti pimpinan Najib?
Perkara penting ialah, kini bukan lagi rahsia apabila menjelangnya PRU14 Najib dikatakan menggunakan tiga muslihat utama – penangguhan pendaftaran pakatan pembangkang (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(RoS), persempadanan semula, serta meluluskan segera Akta Antiberita Tidak Benar 2008 diwartakan dan dikuatkuasakan serta-merta.

Yang di-Pertuan Agong meluluskan rang undang-undang (RUU) itu pada 9 April, manakala tarikh permulaan akta itu adalah 11 April 2018 lalu.

Tidakkah semua ini adalah tindakan penting dengan  segala cara dan upa pun bagi menyingkirkan pembangkang daripada landskap politik Malaysia.

Bukan rahsia lagi bahawa semakin hampir dengan PRU14, Najib faham bahawa sekiranya BN bertembung secara langsung dengan HARAPAN melalui  gandingan kepimpinan  Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akan menempuhi jalan sukar.

Kerana itu perlu dijadi dan dianjurkan perlawanan itu pada padang yang tidak sama rata!

Najib juga tidak menjangkakan bahawa isu seperti tekanan kos sara hidup, kenaikan harga barang, pengangguran, 1Malaysia Development Berhad dan dasar diperkenalkan oleh kerajaan seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  dan banyak lagi akan memerangkap kerajaan.


Berikutan itu, BN terpaksa menggagalkan pendaftaran HARAPAN, membubarkan PPBM, melaksanakan persempadanan semula dan perkenalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Najib tidak boleh menafikan semua perkara itu kerana ia berkaitan rapat dengan  langkah BN dan Najib untuk menang pilihan raya.

Isu kemungkinan berlakunya manipulasi ini bukan baharu  kerana pada 20 Mac 2018,  PKR sudah menuntut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat firma data raya Cambridge Analytica dan syarikat sekutunya, SCL Group berhubung penglibatan dalam manipulasi pilihan raya di Malaysia.

PKR  berkata Najib yang pengerusi BN perlu menjelaskan penglibatan firma terbabit sebagai perunding politik bagi parti kerajaan itu kerana Cambridge Analytica terlibat dalam aktiviti politik yang mungkin mempunyai elemen jenayah dan didakwa menyalahguna data peribadi pengguna Facebook.

Permintaan itu dibuat selepas Reuters melaporkan Pengarah Urusan CA Political Global, Mark Turnbull mendedahkan bahawa firma tersebut membuat kerja pilihan raya di Malaysia. Turnbull mendedahkan demikian kepada seorang wartawan stesen televisyen United Kingdom, Channel 4 yang menyiasat kes tersebut tahun lalu.

Ia dilakukan sebagai tersembunyi dengan menggunakan syarikat yang tidak aktif di Mexico, Malaysia dan Brazil.

Reaksi segera daripada pihak kerajaan terhadap dakwaan The Jakarta Post mengenai wujudnya manipulasi dalam PRU14 ialah apabila  Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meminta akhbar itu supaya berhenti menjaja pembohongan terhadap demokrasi di Malaysia.

Beliau juga menegaskan Malaysia menikmati keamanan dan kemakmuran sejak lebih 60 tahun lalu di bawah sistem demokrasi berparlimen mengikut gaya “westminister”.

Malah dengan Malaysia telah melalui 13 pilihan raya dengan jayanya dan berjalan dengan sangat baik, PRU14 pastinya akan terus dilestarikannya.

Berikutan itu Zahrain mengingatkan The Jakarta Post “tolong berhenti menjaja pembohongan.”
Persoalannya, apakah The Jakarta Post akan tunduk kepada peringatan itu?
Dengan kritikan terhadap Najib dan BN, sudah pasti mereka akan mempertahankan pendirian mereka mengenai perkara itu,
Dan jika The Jakarta Post tidak mahu tunduk, apakah ada peruntukan khas melalui Akta Anti Berita Tidak Benar atau  hanya melalui protes rasmi?
Apakah rencana pengarang akhbar Indonesia ini dianggap sebagai campur tangan asing dalam proses pilihan raya di negara ini?
Di sebalik itu apakah akan banyak lagi pendedahan mengenai manipulasi pilihan raya di Malaysia yang bukan sahaja akan didedahkan oleh The Jakarta Post tetapi juga oleh akhbar di negara lain?
Ini  kerana Malaysia yang akan berdepan PRU14 pada 9 Mei 2018 pada ketika ia kini sudah terkenal seantero dunia sebagai negara yang dipimpin oleh pemimpin kleptokrat.
Najib dan BN terpaksalah membantah atau terima sahaja kritikan seperti ini.