Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Apakah taktik manipulasi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah lama dihidu dalam dan luar
negara?
Walaupun ia dianggap suatu pembohongan tetapi keberanian sebuah akhbar
republik Indonesia, The Jakarta Post – melalui rencana
pengarangnya – yang sanggup menyebut perkara itu membayangkan betapa manipulasi
pilihan raya kemungkinan sedang berlaku di Malaysia.
Apakah pemimpin kerajaan, khususnya BN menganggap akhbar negara
jiran itu sebagai melanggar Akta
Antiberita Tidak Benar 2018?
(Akta
mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau
laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk
tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang berupaya
mencadangkan perkataan atau idea).
Persoalan
juga ialah apakah benar tuduhan terhadap akhbar itu bahawa
rencana pengarang itu sengaja disiarkan bagi menjual berita semata-mata?
Di sebalik itu, apakah bukan suatu kebenaran bahawa manipulasi
sebenarnya semakin berlaku di Malaysia?
Jika ditanya pembangkang, mereka bersetuju manipulasi pilihan raya
sedang berlaku secara berleluasa sejak beberapa bulan lalu. Malah ia bagaikan
tiada kuasa untuk melakukan sekatan
terhadapnya.
Kerana itu pertanyaan bahawa penulisan itu suatu rencana yang
bercirikan kepalsuan bukan sesuatu yang mudah untuk ditolak atau ditepis begitu
sahaja oleh rakyat.
Ini kerana walaupun rencana pengarang akhbar berkenaan boleh
dianggap sebagai ‘berita tidak benar’ dan bersifat tuduhan serta tidak berasas untuk mengaibkan demokrasi
Malaysia, jika diteliti dengan mendalam, ternyata wujud beberapa fakta ke arah kebenarannya.
Dalam satu artikel The
Jakarta Post bertajuk “Truly ASEAN” bertarikh 10 April 2018, akhbar itu
mendakwa Najib ‘serupa dengan bekas presiden Indonesia Suharto’, yang
mengamalkan taktik manipulasi.
The Jakarta Post dalam ruangan lidah pengarangnya mengatakan
bagi rakyat Indonesia, taktik yang
digunakan oleh Najib Razak untuk memenangi pilihan raya umum akan datang
mengingatkan kepada helah bekas Presiden Indonesia Suharto ketika 32 tahun
pemerintahannya.
Perlu diingat, lidah pegarang adalah suara rasmi sesebuah akhbar. Ia juga adalah pendirian rasmi The Jakarta
Post.
Namun kenapa akhbar
berkenaan berani membuat pendirian pada ketika ia tahu risiko yang dihadapinya?
Sidang pengarang (redaksi) akhbar berkenaan sudah pasti tahu
‘bahana menanti mereka’ yang akan mendatangkan berbagai tindakan belas dan
kesan buruk dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Soalnya, kenapa mereka
berani mengatakan bahawa pilihan raya akan dimanipulasi oleh kerajaan dan parti
pimpinan Najib?
Perkara penting ialah, kini bukan
lagi rahsia apabila menjelangnya PRU14 Najib dikatakan menggunakan tiga
muslihat utama – penangguhan pendaftaran pakatan pembangkang (HARAPAN) dan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(RoS),
persempadanan semula, serta meluluskan segera Akta Antiberita Tidak Benar 2008
diwartakan dan dikuatkuasakan serta-merta.
Yang
di-Pertuan Agong meluluskan rang undang-undang (RUU) itu pada 9 April, manakala
tarikh permulaan akta itu adalah 11 April 2018 lalu.
Tidakkah
semua ini adalah tindakan penting dengan
segala cara dan upa pun bagi menyingkirkan pembangkang daripada landskap
politik Malaysia.
Bukan
rahsia lagi bahawa semakin hampir dengan PRU14, Najib faham bahawa sekiranya BN
bertembung secara langsung dengan HARAPAN melalui gandingan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim, mereka akan menempuhi jalan sukar.
Kerana
itu perlu dijadi dan dianjurkan perlawanan itu pada padang yang tidak sama
rata!
Najib
juga tidak menjangkakan bahawa isu seperti tekanan kos sara hidup, kenaikan
harga barang, pengangguran, 1Malaysia Development Berhad dan dasar
diperkenalkan oleh kerajaan seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan banyak lagi akan memerangkap kerajaan.
Berikutan
itu, BN terpaksa menggagalkan pendaftaran HARAPAN, membubarkan PPBM, melaksanakan
persempadanan semula dan perkenalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Najib
tidak boleh menafikan semua perkara itu kerana ia berkaitan rapat dengan langkah BN dan Najib untuk menang pilihan
raya.
Isu
kemungkinan berlakunya manipulasi ini bukan baharu kerana pada 20 Mac 2018, PKR sudah menuntut polis dan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
menyiasat firma data raya Cambridge Analytica dan syarikat
sekutunya, SCL Group berhubung penglibatan
dalam manipulasi pilihan raya di Malaysia.
PKR berkata Najib yang pengerusi BN perlu
menjelaskan penglibatan firma terbabit sebagai perunding politik bagi
parti kerajaan itu kerana Cambridge Analytica terlibat dalam aktiviti politik
yang mungkin mempunyai elemen jenayah dan didakwa menyalahguna data peribadi
pengguna Facebook.
Permintaan
itu dibuat selepas Reuters melaporkan Pengarah Urusan CA Political
Global, Mark Turnbull mendedahkan bahawa firma tersebut membuat
kerja pilihan raya di Malaysia. Turnbull mendedahkan demikian
kepada seorang wartawan stesen televisyen United Kingdom, Channel 4 yang
menyiasat kes tersebut tahun lalu.
Ia
dilakukan sebagai tersembunyi dengan menggunakan syarikat yang tidak aktif di
Mexico, Malaysia dan Brazil.
Reaksi
segera daripada pihak kerajaan terhadap dakwaan The Jakarta Post mengenai wujudnya
manipulasi dalam PRU14 ialah apabila Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain
Mohamed Hashim meminta akhbar itu supaya berhenti menjaja pembohongan terhadap
demokrasi di Malaysia.
Beliau juga menegaskan Malaysia menikmati keamanan dan kemakmuran
sejak lebih 60 tahun lalu di bawah sistem demokrasi berparlimen mengikut gaya
“westminister”.
Malah dengan Malaysia telah melalui 13 pilihan raya dengan jayanya
dan berjalan dengan sangat baik, PRU14 pastinya akan terus dilestarikannya.
Berikutan itu Zahrain
mengingatkan The Jakarta Post “tolong berhenti menjaja pembohongan.”
Persoalannya, apakah The Jakarta
Post akan tunduk kepada peringatan itu?
Dengan kritikan terhadap Najib
dan BN, sudah pasti mereka akan mempertahankan pendirian mereka mengenai
perkara itu,
Dan jika The Jakarta Post tidak
mahu tunduk, apakah ada peruntukan khas melalui Akta Anti Berita Tidak Benar
atau hanya melalui protes rasmi?
Apakah rencana pengarang akhbar
Indonesia ini dianggap sebagai campur tangan asing dalam proses pilihan raya di
negara ini?
Di sebalik itu apakah akan banyak
lagi pendedahan mengenai manipulasi pilihan raya di Malaysia yang bukan sahaja
akan didedahkan oleh The Jakarta Post tetapi juga oleh akhbar di negara lain?
Ini kerana Malaysia yang akan berdepan PRU14 pada
9 Mei 2018 pada ketika ia kini sudah terkenal seantero dunia sebagai negara
yang dipimpin oleh pemimpin kleptokrat.
Najib dan BN terpaksalah membantah
atau terima sahaja kritikan seperti ini.