Sunday, December 16, 2018

Royalti ‘Terhalang’ – Di Mana Zalimnya HARAPAN Terhadap Terengganu?


Berbohong dalam isu penyerahan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu yang dikatakan TERHALANG?

Siapa berbohong dan kenapa berbohong?

Atau memang sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dimaklumkan atau tidak ambil tahu mengenai penerimaan royalti minyak kepoada Terengganu?

Laporan media menyebut Menteri Besar Terengganu  hanya pada 25 November lalu mengakui negeri  itu telah menerima RM300 juta sejak Ogos lalu.

Beliau  membuat kenyataan itu selepas membentangkan Bajet Terengganu 2019 yang turut memasukkan sumber kerajaan negeri adalah daripada royalti petroleum.

Persoalan di sini,  apakah kerannya menyebabkan wujud pertelingkahan kenyataan antara Presiden PAS itu dengan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar?

Persoalannya juga  kenapa Hadi beria-ia benar memperkatakan mengenai royalti minyak kepada kerajaan Terengganu?

Lebih memburukkan keadaan beliau jelas mengatakan melalui status Facebooknya bahawa pemberian  royalti minyak kepada Kelantan dan Terenganu  berada pada peringkat ‘terhalang’.

Lebih mengejutkan orang yang cuba mempertahankan beliau mengatakan apa yang dimaksudkan oleh Hadi ialah ‘terhalang bermaksud terhalangnya pembayaran penuh seperti dijanjikan’.

Sengaja mengelirukan keadaan atau memang pemimpin PAS jenis tidak konsisten?

Juga, kenapa pula selepas hampir dua bulan menerima pembayaran royalti sebanyak RM300 juta, Hadi hanya diberitahu atau mengetahui mengenainya begitu lambat?

Apa rahsia PAS Terengganu menyembunyikannya (jika benar) dalam konteks personaliti dan pentadbiran ketika ini?


Jika beliau dimaklum, Hadi mungkin tidak membuat kenyataan di status Facebooknya pada 20 Oktober bahawa Terengganu dihalang daripada  mendapat royalti.

Menimbulkan persoalan  jika benar ada pihak di Terengganu yang dilihat cuba ‘menyorokkan pemberian itu’ daripada Hadi. Pertanyaan ialah kenapa?
Mungkin ada sebab tersendiri kenapa penerimaan wang itu cuba dirahsiakan daripada Hadi.

Mungkin benar kenyataan Hadi mengenai Kelantan. Namun kenyataan oleh  Ahli Parlimen Marang pada 20 Oktober yang mendakwa pembayaran royalti kepada Terengganu juga ‘terhalang’, tidak benar dan songsang.

Malah tuduhan HARAPAN seperti ingkar meskipun royalti  dijanjikan dalam Manifesto HARAPAN  sebelum ini, adalah tuduhan berat.

Berikutan itulah makanya kenyataan Hadi itu dilihat sebagai berbohong.

Sedangkan  pemberian royalti dibuat pada 21Ogos sebanyak RM100 juta, pada 8 Oktober pula sebanyak RM200 juta dan terbaru sebanyak RM150 juta.

Ini bermakna ketika Hadi membuat kenyataan pada 20 Oktober itu, kerajaan Terengganu dah sudah menerima RM300 juta. Sekali lagi bagaimana Hadi tidak tahu?

Perkara itulah  disebut oleh Senator Datuk Razali Idris ketika membahaskan Belanjawan 2019 HARAPAN di Dewan Negara,  tengahari Selasa, 11 Disember lalu.

Razali mempersoalkan tindakan Hadi yang mendakwa pemberian itu terbantut.

Sedangkan menurut Razali yang juga Ketua Pimpinan BERSATU Terengganu ketika kenyataan itu dibuat oleh Hadi, pembayaran mula sudah dibuat pada Ogos dan September 2018.


Apa yang ditimbulkan oleh Razali ini penting kerana pertamanya,  Hadi seperti menafikan bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), apabila berjanji ia tepati.

Dengan kata lain HARAPAN mulai menunaikan janji manifestonya.

Apakah Hadi mempunyai niat memburuk-burukkan kerajaan HARAPAN dengan mengatakan royalti minyak terhalang?

Kedua ialah,  dengan mengaitkan kononnya Kementerian Kewangan dan menterinya Lim Guan Eng sengaja ‘menyekat royalti berkenaan’, ia bagaikan niat buruk Hadi dengan cuba bermain api ‘perkauman’.

Sangat wajar jika kenyataan Hadi itu disambut oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Presiden PAS itu jelas sekali memalukan politik Islam kerana mengatakan DAP mendiskriminasikan pembangunan saksama di Pantai Timur.

Wajarkah pemimpin tertinggi sebuah parti yang mendakwa ia parti Islam membuat tuduhan tidak berasas? Apalagi ia jelas TUDUHAN  PALSU.

Apakah Hadi bersuara bagi menunjukkan beliau seolah-olah berjuang untuk rakyat Terengganu agar royalti disalurkan kepada kerajaan negeri?

Persoalannya, jika kerajaan HARAPAN menunaikan janjinya bermakna Putrajaya juga mengambil berat mengenai nasib dan kepentingan rakyat Terengganu. Ia tidak wajar dipertikai dan diletakkan sebarang syak-wasangka terhadap HARAPAN.

Di sebalik itu, apakah tanpa royalti kerajaan Terengganu tidak mampu mencari hasil lain untuk pembangunan dan kos pentadbiran yang di negeri berkenaan?

Ketiga, tuduhan Hadi juga seperti mencabar kelangsungan amalan federalism antara kerajaan negeri dan Kerajaan Posit. Ia tidak wajar dilakukan oleh Hadi sedangkan pentadbir negeri sekarang tidakpun berlagak dan bersifat angkuh seperti Hadi.

Di sudut hati Hadi, beliau mungkin bimbang wang royalti itu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri atau  diberhentikan.

Beliau bimbang kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS sekarang akan mengalami nasib yang  sama seperti ketika beliau menjadi Menteri Besar.

Tetapi Hadi perlu telus dan berani menyatakan kenapa royalti dihentikan pada tahun 2000? Juga sebab-sebab bagaimana RM400 juta, iaitu bayaran pertama dibelanjakan oleh pentadbiran Hadi ketika itu?

Dokumen mengenai bagaimana wang RM400 juta ‘didapati tidak diakaun’ akan kekal menjadi sejarah. Pemimpin-pemimpin  seperti Datuk Seri Idris Jusoh, Tan Sri Rais Yatim, Tun Abdullah Ahmad Badwi  dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri amat tahu mengenai episode kehilangan wang berkenaan.

Ia wang rakyat bukan wang kerajaan PAS Terengganu atau wang milik Hadi.

Razali mempunyai hak sebagai Senator HARAPAN untuk memperbetulkan keadaan, kesan daripada kenyataan Hadi dan  dilakukan secara santun di Dewan Negara.

Razali  cuba memberitahu rakyat melalui ucapannya di Dewan Negara bahawa kerajaan HARAPAN melaksanakan janji untuk menyerahkan royalti.

Namun persoalannya, untuk apa wang itu dibelanjakan? Apakah cara berbelanja seperti ketika era Hadi menjadi Menteri Besar akan berulang?

Mungkin kekecohan dan ‘pertelingkahan’ yang dikatakan berlaku di kalangan kepimpinan PAS Terengganu baru-baru ini ada kaitan dengan isu wang royalti ini.

Hanya mereka yang boleh menjelaskannya. Ini kerana kekecohan itu dikatakan melarat sehingga ada suara mahu menggantikan Menteri Besar sekarang dengan tokoh lain.

Hadi atau PAS Terengganu boleh menafikannya. Namun dahan-dahan pokok yang bergoyang dan patah kerana ribut kencang dalam PAS sukar untuk  tumbuh kembali.

Amat nyata kenyataan Razali di Dewan Negara itu  mampu menjelas dan menjernihkan kerajaan HARAPAN Pusat daripada tuduhan Hadi bahawa ia menyekat pemberian royalti.

Sehingga kini royalti kepada kerajaan PAS Terengganu sudahpun berjumlah RM450 juta yang dibayar sebanyak tiga kali. Pada Ogos, Oktober (RM200 juta) dan baru-baru ini sebanyak RM150 juta.

Amat nyata, kerajaan HARAPAN tidak bermain politik dan tidak ‘menganak-tirikan’ kerajaan dan rakyat Terengganu.

Namun semuanya itu bergantung di atas kebijaksanaan pentadbiran negeri menguruskannya.

Bak kata Razali dengan amaran, jika disalah urus atau wang itu dibelanjakan demi ‘modal politik PAS’, bukan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, Putrajaya wajar menilai semula pemberian itu.

Malang sekali, Senator Datuk Husin Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam usahanya cuba pertahankan Hadi dalam ucapan perbahasannya di Dewan negara, petang Khamis 13 Disember, sangat  mengelirukan kononnya apa yang Hadi maksudkan dalam kenyataan sebagai ‘terhalang’ itu bermaksud ;terhalang daripada mendapat pembayaran penuh’.

Di status facebook Hadi hanya menyebut perkataan ‘TERHALANG’.

Beliau mempersoalkan kenyataan Razali yang dianggap bersifat songsang sambil melahirkan rasa kecewanya  kerana orang yang dituduh oleh Razali  iaitu Hadi tidak berada di Dewan Negara untuk menjawab tuduhan berkenaan.

Mengejutkan daripada kenyataan Husin ialah seolah-olah Hadi hanya tahu mengenai pemberian royalti itu hanya sebelum persidangan DUN Terengganu.

Jadi benarlah pendapat bahawa Hadi menang tidak diberitahu mengenai pemberian royalti itu. Sekali lagi, persoalannya kenapa?

Walau apa juga yang berlaku di kalangan kepimpinan PAS Terengganu atau hubungan antara pentadbiran negeri dan Hadi, yang nyata, bayaran yang dijanjikan sedang ditunaikan oleh HARAPAN.

Ia dibuat  di atas perjanjian bersama sebelum ini selain semangat federalisme yang ditunjukkan oleh kerajaan HARAPAN.

Jadi tidak perlu lagi ada keresahan atau kebimbangan pemberian royalti TERHALANG.

Untuk waktu sekarang, kerajaan PAS Terengganu perlu bersabar tunggu untuk bayaran seterusnya.

Itupun JIKA ADA!