Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) menumpukan soal mencipta pendapatan tinggi. Maknanya tumpuan Malaysia sekarang adalah mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi supaya kualiti hidup rakyat bertambah baik dan lebih banyak wang boleh dibelanjakan.
Soalnya, bagaimanakah rakyat dapat menikmati semua ini? Tiada jalan mudah atau pintas. Malaysia perlu menyediakan tenaga kerja dan graduan yang berkemahiran tinggi serta berilmu pengetahuan.
Gelombang globalisasi sedekad lalu telah menimbulkan kebimbangan apabila mereka yang mempunyai kemahiran tinggi menjadi modal insan yang dicari-cari. Tetapi, ahli perniagaan di Malaysia tidak mempedulikan isu tenaga kerja berkemahiran ini, walaupun ketidakpedulian mereka itu boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Kelmarin sektor swasta digesa menjadi enjin penggerak kepada hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Harapan ini disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakikatnya, kerajaan telah menggariskan pelbagai strategi bagi menjayakan hasrat untuk Malaysia muncul sebagai negara maju menjelang 2020, tetapi apa yang paling penting sektor swasta harus menjadi enjin penggerak kepada hasrat tersebut.
"Sektor swasta yang kuat, kompetitif, dinamik dan inovatif sangat kritikal untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial negara ini," katanya semasa berucap sempena majlis pelancaran The Edge Malaysia Billion Ringgit Club, Isnin lalu.
Dalam membincangkan isu pembangunan dan pendapatan tinggi, jangan dilupakan kawasan penduduk paling banyak kumpulan berpendapatan rendah, apatah lagi terdiri daripada kaum bumiputera.
Pantai Timur menghadapi masalah kadar kemiskinan yang tinggi dan kumpulan berpendapatan rendah yang ramai. Sebab itu pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilaksanakan sejak 2007.
Masalah untuk meningkatkan pendapatan bumiputera tidak akan dapat diselesaikan kecuali ditangani dahulu dari mana puncanya. Dan hampir 90 peratus penduduk yang tinggal di kawasan ECER adalah bumiputera.
Mengikut statistik, hampir 60 peratus penduduk ECER berumur antara 15 hingga 64 tahun, manakala 36 peratus di bawah 14 tahun. Kira-kira 32 peratus mereka yang tidak berpendidikan di kawasan ECER adalah tidak bekerja, sementara 18 peratus yang setakat berpendidikan sekolah menengah tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Untuk menangani masalah ini, pada peringkat makro, RMK-10 memperuntukan RM150 juta bagi melatih 20,000 murid keciciran, RM7.5 juta untuk melatih jurulatih, pengajar dan fasilitator. Kira-kira RM500 juta akan digunakan untuk menyediakan pinjaman kepada lepasan sekolah dan pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan latihan.
Di samping peruntukan pendidikan, latihan dan kemahiran semula diwujudkan supaya pekerja mencari pekerjaan berpendapatan tinggi, ia juga sebahagian usaha meluaskan kepakaran. Terutama kemahiran untuk penduduk golongan bawahan.
Kira-kira 80 peratus tenaga kerja atau 60 peratus penduduk Malaysia mempunyai pendidikan di peringkat SPM atau setaraf dengannya. Kumpulan yang dikategorikan berkemahiran rendah ini memberi kesan langsung ke atas pertumbuhan ekonomi.
RMK-10 telah mengenal pasti adalah sangat mustahak meningkatkan kemasukan pekerja-pekerja ke dalam kursus-kursus kemahiran semula dan latihan berkualiti terutama bagi kawasan luar bandar dan pusat bandar dengan matlamat mencapai keperluan industri.
KerJaya ECER yang merupakan program pembangunan modal insan yang diperkenalkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak tahun lalu diyakini dapat membantu peserta mendapatkan pekerjaan.
Program itu diperkenalkan untuk merangsang kemahiran siswazah dan pencari kerja di wilayah ini menjadi lebih kompetitif dan mempunyai peluang tinggi diambil bekerja dalam dunia pekerjaan yang mencabar kini.
Program KerJaya ECER juga selari dengan MBE yang berlandaskan pengetahuan, inovasi dan kreativiti, yang mana ia menyediakan para graduan baru dan pencari kerja dengan kemahiran-kemahiran yang bersesuaian sebelum dipadankan dengan syarikat-syarikat yang memerlukan kemahiran berkenaan.
Program ini juga selaras dengan wawasan ECER untuk menjadi wilayah yang maju menjelang 2020, di mana pembangunan modal insan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek ECER, terutamanya menyediakan kumpulan tenaga kerja berkemahiran di wilayah ini bagi menarik pelaburan asing dan tempatan.
Pada masa yang sama, program KerJaya ECER dapat mengelak penghijrahan pekerja keluar dari ECER dan memberikan peluang kepada pekerja mahir untuk pulang ke negeri asal dan berkhidmat dengan syarikat-syarikat di ECER.
Sejak dilaksanakan, program ini menarik 5,126 peserta dan 353 syarikat seluruh wilayah ECER. Peserta juga didedahkan latihan sambil kerja dalam tempoh sembilan bulan pertama, di samping menikmati ganjaran bulanan minimum RM1,200 hingga RM1,500 yang dibayar bersama oleh Majlis Pembangunan ECER dan syarikat yang menyertai program ini.
Inisiatif ini dapat membantu bumiputera meningkat satu tangga lagi dalam ekonomi baru dan tidak terus ketinggalan di belakang. Langkah ini juga menyediakan landasan pendapatan tetap lebih baik kepada peserta apabila mereka memiliki kemahiran baru untuk ditawarkan kepada syarikat.
Melalui inisiatif ini, jurang antara penduduk bandar dan luar bandar, negeri-negeri Pantai Timur dengan Pantai Barat di Semenanjung dapat dikurangkan. Ia juga akan meletakkan guna tenaga Malaysia lebih berdaya saing dan pelbagai guna.
No comments:
Post a Comment