Wakil UniSZA, Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan muffin yang diperbuat daripada ubi gadung yang dihasilkan oleh UniSZA, ketika pameran di Karnival Inovasi di Pusat Dagangan Terengganu Oktober tahun lalu.
Bukan mudah menikmati juadah kuih-muih berasaskan ubi gadong, melainkan jika pembuatnya betul-betul mahir dan mengetahui teknik pemprosesan bermula dari awal hinggalah ke langkah terakhir penghasilannya.
Hanya segelintir penduduk kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang mahir kerja pemprosesan ubi gadong yang menjadi juadah istimewa untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berkunjung ke negeri ini sempena program Pemimpin Turun Padang (PTP) baru-baru ini.
Sebagai memberi peluang kepada pengamal media di negeri ini merasai kuih-muih berasaskan ubi gadong, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan membuat jamuan khusus untuk memperkenalkan ubi gadong.
Pengerusinya, Chek Harun Ismail berkata, program ini kali pertama dilaksanakan kepada semua pengamal media yang banyak memberi sokongan, selain memperkenalkan makanan tradisi masyarakat dahulu.
“Apa yang membanggakan, rata-rata yang merasai kuih itu menyatakan rasa puas hati dengan keenakan ubi gadong yang dijadikan kuih onde-onde, buah gomok dan puteri mandi.
“Insya-Allah kita akan jadikan kampung ini sebagai destinasi pilihan masyarakat untuk menikmati kuih berasaskan ubi gadong sekiranya bekalannya terus ada,” katanya.
Chek Harun berkata, sebagai inisiatif memperkenalkan ubi gadong kepada generasi baru, penduduk menanam anak pokok ubi itu di taman herba sebagai tontonan orang ramai.
“Bukan mudah mendapatkan pokok ubi gadong melainkan di kawasan hutan dan ia memerlukan kepakaran dan ketelitian untuk memperoleh ubi tersebut,” katanya.
Bagi anak muda pula mungkin hanya segelintir anak muda masa kini yang pernah mendengar perkataan itu dan mengetahui atau melihatnya.
Utusan Malaysia, dalam laporannya pada 11 Ogos tahun lalu menyebut bahawa ia sejenis ubi yang lebih dikenali oleh orang-orang tua ketika mereka melalui zaman sukar dan menjadi sebutan mereka apabila mengimbau waktu silam.
Bahan beracun itu yang turut dijauhi binatang itu diolah dan diproses menjadi sajian makanan yang enak bagi menggantikan makanan ruji, namun ia bukanlah kerja yang mudah.
Di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu beberapa dekad lalu, ubi yang telah diproses dan dijadikan makanan masih boleh dibeli di pasar-pasar tertentu tetapi kini sukar dicari.
Ubi gadung adalah tumbuhan liar yang mudah kedapatan di hutan-hutan kecil dan ia menjalar dan memanjat pokok-pokok lain.
Ia boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri manakala isinya membesar di dalam tanah.
Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini untuk dikomersialkan terutamanya sebagai bahan perubatan, kecantikan dan makanan ternyata menarik perhatian.
UniSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam di wilayah ECER yang dipertanggungjawabkan dengan beberapa Pusat Kecemerlangan termasuklah pusat produk halal wilayah dan pusat herba serta bioteknologi.
Bagi menjayakan penyelidikan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani di Wisma Darul Iman, tahun lalu.
Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah dan UnisZA pula oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr. Alias Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Justeru tidak mustahil suatu hari kelak, orang ramai memilih tepung ubi gadung untuk membuat kuih muih, makanan ringan sebagai ganti tepung gandum atau pulut hasil daripada penyelidikan itu kelak.
Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadung berpotensi untuk dikomersialkan dan kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap tanaman tersebut selama dua tahun.
‘‘Saya difahamkan terdapat sejenis bahan di dalam kandungan ubi gadung yang dipercayai steroid di dalam bentuk gula di mana mampu menyahkan toksin di dalam badan selain menghalang pembekuan darah serta boleh dijadikan pil pencegah kehamilan. Ini sebahagian daripada potensinya.
“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun melalui projek perintis, ia akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” ujarnya.
Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti itu.
Ia meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticle, teknologi in-vitro, sifat anti bakteria dan anti imflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkormesialan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali berkata, ia sebagai usaha UniSZA dalam membantu projek huluan dan hiliran yang bakal memberi faedah secara langsung kepada penanam (huluan) dan secara tidak langsung menyediakan maklumat sokongan kepada kerajaan ke arah perkembangan tanaman dan produk baru bagi negeri ini.
Katanya, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.
“Jika dulu masyarakat hanya dapat menemui ubi gadung jauh di dalam hutan dan ia dapat ditemui sekali setahun iaitu pada musim hujan namun kini UniSZA dalam usaha memproduktifkan tanaman ini dengan menghasilkan tanaman itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui tambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Abd. Manaf memberitahu, semenjak kajian itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu, penyelidikan kandungan ubi gadung itu menunjukkan ciri-ciri ‘biopesticide’ yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.
“Mengikut kebiasaannya, ubi ini yang diricis perlu direndam selama tiga hari di dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai bagaimanapun ia mengambil masa terlalu lama bagi pengusaha produk makanan jika mahu memproses ubi ini untuk dijadikan produk makanan,” ujarnya.
Justeru itu, UniSZA akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.
“Dalam menjayakan usaha itu, kita telah mempunyai makmal sedia ada kira-kira empat tahun lalu iaitu yang terletak di UniSZA Kampus Kota dengan kos RM14 juta di mana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.
“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada wilayah ECER yang telah dipertanggungjawabkan dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Pusat Produk Halal Wilayah dan Pusat Herba dan Bioteknologi,” ujarnya.
Sinar Harian/ Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment