Oleh Hambali Abdul Latiff
Debat Politik? Tidak payahlah.
Rugikan masa. Konon kalau berdebat, taraf demokrasi kita melaonjak dan seakan ‘bertaraf’ politik di Amerika Syarikat apabila dua calon Presiden berdebat mengenai agensa pentadbiran mereka jika menang pilihan raya.
Kadang kala kita tidak meneliti mengenai sensitiviti keagamaan, keturunan, etnik serta latar belakang sejarah yang ada di negara kita apabila menggunakan kayu ukur negara Barat atau negara-negara tertentu dalam soal debat politik.
Sedangkan debat secara terbuka antara pemimpin kerajaan dengan pembangkang hanya akan memberi lebih ruang dan peluang kepada pembangkang semakin berani dan terbuka menyerang kerajaan dengan tidak berhemah.
Selain terperangkap dengan jerat pembangkang untuk mencari publisiti menjelang pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, debat yang disertai pemimpin politik ‘secara tangkap muat’ atau oleh pemimpin yang merasakan diri mereka ‘berupaya’ akan hanya memberikan gambaran lebih buruk terhadap cirri-ciri dan kewibawaan kerajaan.
Dengan nada dan gaya retorik, pemimpin pembangkang tidak akan berkompromi atau berhemah untuk memburuk-buruk kerajaan di khalayak ramai dan medan itu menjadi ‘ceremah terbuka dan penting untuk mereka’.
Cabar mencabar umpamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berdebat mengenai isu politik yang rasanya rakyat cukup faham mengenai isu-isu berkenaan yang dihemburkan melalui ceramah, kempen, akhbar, media sosial dan banyak lagi termasuk ‘fitnah’ yang sering dilemparkan.
Apa yang dapat dilihat selain orang politik terlibat, pihak media – sama ada cetak, siber atau elektronik – cuba mengangguk keuntungan kononnya mahu menjadi penganjur. Apakah mereka berniat ikhlas mengatasi isu atau memang menyokong tokoh atau parti tertentu.
Yang pasti media ini mahu mengaut keuntungan publisiti untuk kepentingan peribadi mereka. Mempopular dan melariskan jualan akhbar atau media mereka dalam konteks menjana pendapatan dan penjenamaan.
Di Terengganu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dituduh ‘pengecut’ dan ‘tidak ada telor’ apabila enggan menyahut atau melayan hasrat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut untuk berdebat dengannya bagi membincangkan isu setempat berkaitan negeri Terengganu.
“Kita tidak akan layan cabaran tersebut kerana ia tiada faedah. Saya tidak takut untuk adakan debat dengan pemimpin Pas kerana dahulupun saya merupakan seorang pemidato. Sebaliknya, kita melihat tiada sebarang keperluan untuk berbuat begitu.
“Cukuplah sekadar debat sewaktu DUN bersidang kerana walaupun selama ini kita memberitahu perkara yang betulpun, mereka tetap akan kata kita menipu serta memutar belit cerita sebenar kepada rakyat. Bila ajak debat bersungguh- sungguh tetapi bila diajak muzakarah, macam-macam alasan dan cerita yang timbul.
Daripada ajak debat, lebih baik muzakarah….” katanya pada 30 Mei lalu, sambil menegaskan, cabaran tersebut tidak akan disahutnya bukan kerana takut sebaliknya beliau melihat tiada sebarang kepentingan atau faedah untuk berbuat demikian kerana Pas akan tetap mengatakan Umno dan BN sebagai penipu.
Pada 27 Mei lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mencabar Ahmad agar berdebat mengenai isu setempat yang berlaku di negeri ini.
Malah sehari dua ini dikhabarkan ada pula sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang bersedia menganjurkan debat antara Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu walaupun Ahmad Said sudah menegaskan pendiriannya.
Kerajaan Negeri mempunyai saluran yang baik dan telus apabila membentangkan Bajetnya yang lengkap sejak 2009 dan menerangkan dengan jelas hala tuju pembangunan dan pendekatan Kerajaan Negeri melalui Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.
Malah, pebahasan dan soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah cukup dan pemimpin pembangkang diberikan ruang seluas-luasnya mengemukakan soalan. Soal tidak puas hati adalah perkara biasa.
Apakah Menteri Besar dan Exco pembangkang di DUN Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah memberikan jawapan yang memuaskan hati pemimpin Barisan Nasional?
Pastinya tidak apabila wujudnya kepentingan berlainan, dan begitulah juga di Terengganu. Kerana itu sesuatu yang pelik dan tidak terlintas di benak saya sama sekali apabila ada wartawan menelefon mengatakan ada NGO mendakwa Menteri Besar bersetuju untuk berdebat dengan wakil pembangkang di Terengganu.
Soalannya, siapa yang bersetuju dengan debat itu dan kenapa NGO berkenaan menggunakan nama Menteri Besar, kononnya bersetuju dengan cadangan mereka untuk menganjurkan debat.
Untuk kepentingan siapakah NGO itu bergerak dan untuk tujuan apa NGO berkenaan menggunakan nama Ahmad Said atau Wahid Endut dalam konteks debat politik ini?
Ini kerana gesaan pembangkang supaya Najib berdebat dengan Anwar mengenai ekonomi negara hanya helah politik semata-mata.
Malah saya sangat gembira apabila beliau meminta Majlis Tertinggi Umno menetapkan garis panduan kepada mana-mana anggota parti yang ingin berdebat dengan pembangkang bagi menjamin etika dan dasar parti tidak dipersenda dan dibahaskan di khalayak umum secara terbuka.
“Ini bukan kerana takut kepada pembangkang, tetapi bagi menjaga kehamornian parti dan mengelakkan daripada kerajaan diperlekehkan secara terbuka oleh pembangkang…apabila berlaku perdebatan mengenai pelbagai isu secara tidak langsung ia membawa imej kerajaan kerana UMNO merupakan tunjang kepada pemerintah,” katanya.
Pandangan beliau ini amat benar dan tepat kerana daripada debat yang diadakan sejauh ini, Nampak sangat pemimpin kerajaan, UMNO dan parti komponen walaupun berjaya mengemukakan hujah bernas namun akhirnya dijadikan modal untuk membelasah balik kerajaan melalui spin dan putarbelit yang sengaja mereka adakan.
Akhirnya perkara baik yang cuba dijelaskan banyak mendatangkan ‘kesan buruk’ kepada parti dan kerajaan.
Siapa yang untung? Pembangkang dan media yang menganjurkan debat politik berkenaan.
Lebih buruk jika media yang menganjurkan debat itu bersimpati pembangkang, bukan sahaja ia mendapat publisiti semakin meluas tetapi memberikan sumbangan besar kepada pembangkang untuk sama-sama memburuk dan mencaci kerajaan!
No comments:
Post a Comment