Pasukan bola sepak kebangsaan bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah, berdiri) sebelum berlepas ke Thailand bagi perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok. |
Beliau berkata walaupun kebanyakan pemain tonggak Harimau Malaya tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu, namun skuad kebangsaan masih mampu menjaringkan gol yang pertama.
Harimau Malaya akan menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Supachalasai, Bangkok, Khamis ini.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal mencapai keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam. Untuk perlawanan timbal balik di Bangkok, Khamis ini,
Malaysia perlu mencari kemenangan untuk menghidupkan peluang mempertahankan trofi yang dimenangi dua tahun lalu.
"Saya yakin dan percaya ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal mempunyai taktik yang tersendiri dalam membentuk formasi permainan yang strategik," kata Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas menghantar pasukan Harimau Malaya di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang semalam.
Pemain skuad kebangsaan berlepas ke Bangkok, Thailand menaiki pesawat AK 9632 yang digelar 'Semangat Harimau Muda' selepas dicat khas dan diberi nafas baharu dengan logo Harimau Malaya.
Menurut Ahmad Shabery, langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan tambang murah itu adalah satu penghormatan yang diberi kepada pasukan Harimau Malaya apabila mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.
"Sekarang ini merupakan era baharu di mana kita sering mendengar pasukan bola sepak antarabangsa yang datang dengan pesawat sewa khas dan kini antara pasukan di Asia Tenggara, kita juga sudah mulakan penerbangan sedemikian untuk pemain-pemain kita.
"Ini adalah salah satu motivasi untuk mereka sekiranya mereka terus mempamerkan prestasi yang baik, semua pihak akan terus memberikan sokongan dan mereka juga akan terus mendapat lebih daripada apa yang diterima sekarang," katanya.
Mengulas mengenai formasi yang akan digunakan pada perlawanan timbal balik di Thailand kelak, Rajagobal membuat keputusan untuk melihat keadaan pemainnya terlebih dahulu sebelum memilih siapa yang akan beraksi dalam kesebelasan utama.
"Kita harus faham pada perlawanan permulaan semalam, kita tiada lima orang pemain tonggak dan dengan keputusan yang diperoleh, saya amat bangga dengan pemain dan komitmen mereka jika dibandingkan dengan pasukan Thailand yang menggunakan semua pemain utama mereka," katanya.
Bagi penyerang Harimau Malaya, Safee Sali amat kecewa apabila tandukannya ditepis keluar penjaga gol Thailand semalam dan beliau yakin masih ada peluang untuk Malaysia mara ke perlawanan akhir dengan corak permainan serta kehadiran semula pemain tonggak di perlawanan timbal balik kelak. "Saya kecewa apabila terlepas satu peluang yang agak baik semalam tetapi kita masih ada baki 90 minit di Thailand dan saya yakin kita mampu menjaringkan gol untuk layak ke final," katanya yang berjanji bermain sebaik mungkin jika diturunkan. Sementara itu syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia merancang untuk membuka kaunter khas berkonsepkan 'Siapa Cepat, Dia Dapat' kepada penyokong Harimau Malaya yang ingin ke Bangkok, Thailand. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamaruddin Meranun berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyediakan pesawat khas bagi tujuan itu. Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut jumlah pesawat yang akan digunakan untuk penerbangan ke Bangkok disebabkan pihaknya terlebih dahulu perlu melihat jumlah pesawat syarikat untuk tujuan lain seperti penerbangan harian. "Seperti yang kita tahu bulan Disember adalah musim cuti sekolah, sehubungan itu kita sedang mengkaji cara terbaik untuk membawa seramai mungkin penyokong dengan tawaran harga terendah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penghantaran pasukan Harimau Malaya oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang semalam.
Malaysia berdepan laluan sukar dalam usahanya melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2012 apabila diikat Thailand 1-1 pada pertembungan separuh akhir pertama di Bukit Jalil, malam kelmarin.
Terdahulu, kesungguhan Malaysia memburu gol awal pada pertemuan menentang Thailand di Bukit Jalil malam semalam jelas ketara apabila turun dengan corak menyerang.
Anak buah Datuk K Rajagobal tidak menunggu lama mengucar-kacirkan pertahanan Gajah Perang menerusi beberapa gerakan berbahaya diterajui Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo).
Dalam tempoh 10 minit pertama, jentera serangan skuad kebangsaan memporak-porandakan pertahanan Thailand sehingga membuatkan pengendalinya, Winfried Schafer tidak keruan.
Usaha tanpa jemu Malaysia memburu gol awal hampir berhasil pada minit ke-19, Namun Azamuddin Akil (Alex) gagal menanduk kemas hantaran lintang Mahalli Jasuli meskipun penjaga gol lawan, Kawin Thamsatchanan sudah tertewas.
Kehadiran 85,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional juga berjaya memberi motivasi luar biasa kepada pemain untuk meneruskan corak permainan menyerang.
Thailand yang hadir selaku pasukan pilihan pula seakan mati akal dan kurang berjaya dalam usaha mereka memeceh kekebalan benteng pertahanan Malaysia.
Menuju ke masa rehat, Malaysia memperlahankan permainan dan kesempatan ini digunakan Thailand untuk bina kembali momentum pasukan dengan melancarkan beberapa percubaan jarak jauh.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan ke kubu Thailand dan hasilnya pada minit ke-48 Mat Yo berjaya memecah kebuntuan apabila menanduk kemas hantaran lintang Mahalli Jasuli untuk gol pertama Harimau Malaya.
Tersentak dengan jaringan pembukaan Malaysia, Thailand kembali memperkemaskan permainan namun kemaraan mereka mudah dipatahkan pertahanan negara.
Namun pada minit ke-79, kelekaan benteng negara dihukum apabila penyerang berbisa Gajah Perang, Teerasil Dangda menanduk masuk gol penyamaan Thailand.
Gol berkenaan umpama wakeup call buat Harimau untuk kembali bangkit. Menuju minit akhir perlawanan, Malaysia hampir mencipta gol kemenangan namun tandukan point blank pemain gantian Safee Sali berjaya ditepis keluar.
Perlawanan ditamatkan dengan kedudukan seri 1-1. Malaysia akan berkunjung ke Bangkok 13 Disember ini untuk aksi separuh akhir kedua.
No comments:
Post a Comment