Dari kiri, Muhammad Firdaus, Fatehah dan Josiah merangkul pingat emas pada ACC 2013 di New Delhi, India. |
Selepas pelumba trek 'menggegar' Velodrom Tertutup Basikal Kompleks Sukan Indira Ghandi, badan induk sukan lumba basikal negara itu meletakkan sasaran menang sekurang-kurangnya satu pingat dalam acara lebuh raya yang akan membuka tirainya hari ini.
Seperti biasa, skuad trek diketuai tiga bintang ternama yang berpangkalan di Melbourne, Australia iaitu Josiah Ng, Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa berpesta pingat.
Paling menarik, pelumba trek menutup saingan dengan menduduki tempat kedua selepas meraih tujuh pingat emas iaitu pencapaian terbaik sejak 2007, sekali gus membuktikan anak-anak anak buah John Beasley terus meningkat dari semasa ke semasa.
Namun, persoalannya sampai bila Malaysia yang gah selaku kuasa besar dalam acara trek di Asia tetapi hanya mampu berbangga dengan sebuah velodrom usang di Cheras, Kuala Lumpur.
Ramai pelumba trek negara mengagumi kehebatan Velodrom Tertutup Basikal Kompleks Sukan Indira Ghandi tetapi pada masa yang sama terselit satu harapan di hati mereka untuk melihat pembinaan sebuah velodrom serupa di tanah air sendiri.
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, Azizulhasni 'terpaku' apabila melihat seorang demi seorang pelumba pelapis negara memperaga aksi menarik di New Delhi. Ia seolah-olah seperti mereka sudah biasa berlumba di sebuah velodrom tertutup.
"Kami sepatutnya sudah ada sebuah velodrom tertutup. Cuba tengok aksi pelumba pelapis. Mereka mungkin belum biasa berlumba di lokasi tersebut. "Ia adalah suatu suasana yang sangat berbeza. Namun, saya kagum apabila lihat mereka mampu untuk menunjukkan aksi yang mantap," katanya.
Persoalan yang sama diutarakan jurulatih skuad pelapis, Shuod Hussin. "Saya terpaksa merayu kepada MSN (Majlis Sukan Negara) untuk terbang lebih awal ke New Delhi.
Rata-rata pelumba pelapis belum biasa berlatih dan berlumba di velodrom tertutup. Jadi, saya minta kebenaran MSN untuk terbang lima hari lebih awal daripada tarikh perlumbaan sebenar. "Saya mahu setiap pelumba tahu apa gear, tayar dan peralatan yang sepatutnya digunakan di sini. Masing-masing mempunyai ratio kegunaan yang berbeza.
Apabila sampai di sini, barulah pelumba pelapis tahu apa perbezaan berlumba dalam sebuah velodrom tertutup," katanya.
Malah, Shuod menyifatkan kejayaan pasukan 4km kejar-mengejar berpasukan lelaki negara meraih pingat gangsa dan hampir memperbaharui rekod kebangsaan adalah satu eksperimen yang menarik berlaku di depan mata pelumba pelapis sendiri. "Pada peringkat saringan mereka gagal untuk mencatat masa yang bagus.
Akibatnya mereka terpaksa lawan Korea Selatan yang jelas mempunyai catatan masa yang lebih baik daripada kuartet Malaysia.
"Bagaimanapun, mereka mudah dan berjaya memotong (overlap) skuad Korea Selatan pada penentuan pingat gangsa dan hampir pecahkan rekod kebangsaan.
"Soalnya, kenapa perkara ini berlaku? Ini adalah kerana perbezaan suhu pada hari mereka berlumba. Pada hari saringan, kuartet negara berlumba pada suhu 14 darjah Celsius. Pada hari mereka berlumba memburu pingat gangsa, cuaca lebih panas iaitu sekitar 28 darjah Celsius.
"Di sinilah letaknya kalau kita berlumba dalam sebuah velodrom tertutup. Jadi, selepas ini mereka boleh mengetahui perbezaan berlatih dan berlumba dalam sebuah velodrom tertutup," katanya.
Shuod turut menyarankan sebuah velodrom tertutup dibina dengan segera bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur di Cheras yang dianggap sudah tidak sesuai dengan perkembangan dunia trek ketika ini. "Permukaan trek di Cheras didapati tidak rata dan boleh mendatangkan masalah kalau pelumba kurang mahir berlumba di sebuah velodrom tertutup.
Namun, apa yang nyata, dengan status kita sekarang, Malaysia wajib mempunyai sebuah velodrom tertutup," katanya.
ACC 2013 menyerlahkan seorang bakat luar biasa pelumba pelapis yang meraih tiga pingat emas dan sebutir pingat perak iaitu pencapaian yang hanya mampu dilakukan oleh Azizulhasni pada ACC 2006 di Velodrom Kuala Lumpur.
Muhammad Firdaus Mohd. Zonis yang dibimbing oleh Mahadzir Hamad iaitu legenda trek dan lebuh raya negara berjaya menyamai pencapaian Azizulhasni apabila mengungguli acara keirin, 200 meter pecut individu, 1 kilometer ujian masa individu dan perak dalam acara pecut berpasukan.
"Saya anggap kejayaan meraih tiga pingat emas pada ACC kali ini sebagai suatu pencapaian yang cukup baik. Saya sendiri terkejut kerana dapat meraih tiga emas di penampilan pertama pada kejohanan ini.
"Pada awalnya, saya meletakkan sasaran untuk meraih emas dalam acara 1km ujian masa individu dan pecut tetapi tak sangka pula saya dapat menambah koleksi satu lagi emas menerusi acara keirin.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua jurulatih yang melatih saya dan rakan-rakan sepasukan yang banyak memberi sokongan kepada saya apabila beraksi di sini," kata Muhammad Firdaus.
Biarpun pertama kali beraksi di pentas berprestij di Asia itu, Muhammad Firdaus mengakui, dia tidak berasa gentar untuk berdepan dengan barisan pencabarnya.
"Setiap kali beraksi, saya hanya fokus di trek dan tidak mempedulikan perkara lain. Syukur, saya dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap acara yang disertai.
"Kejayaan pada ACC kali ini menambahkan lagi semangat saya untuk tampil lebih baik pada kejohanan akan datang. Saya berazam untuk memberikan aksi yang lebih baik selepas ini
"Saya anggap ini semua sebagai satu permulaan dan langkah pertama untuk melakar kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi," jelas pelumba berusia 17 tahun kelahiran Kuala Selangor itu.
Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia menggantikan tempat Azizulhasni atau Josiah suatu hari nanti, Muhammad Firdaus atau lebih mesra dengan gelaran Toi berkata: "Seperti yang saya katakan, perjalanan saya masih jauh.
"Bagi saya, saya perlu mengambil masa beberapa tahun lagi untuk memperbaiki prestasi saya. Siapa tidak mahu berada sebaris dengan pelumba-pelumba elit dunia.
"Buat masa ini, saya hanya fokus untuk memperbaiki skil serta rentak kayuhan saya." Pada kejohanan yang sama, skuad basikal paralimpik yang dibimbing bekas jurulatih kelab benua, Le Tua, Johari Nayan meraih dua pingat emas.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment