Di TERENGGANU, keputusan STPM yang diumumkan itu menyaksikan dua pelajar negeri tersebut terpilih sebagai beberapa calon terbaik negara. Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hashim Mohd Zin berkata seramai 2,861 orang calon (96.01 peratus) telah mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. "Pencapaian ini adalah yang terbaik berbanding dua tahun lalu dan yang lebih membanggakan setelah dua pelajar kita terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara," katanya dalam sidang media.
Di KELANTAN, sebanyak 14 sekolah mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan empat pelajar dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan berbanding hanya seorang pada tahun 2011. Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hussain Awang berkata peratus kelulusan keseluruhan calon STPM pada 2012 ialah 95.12 peratus atau 5,399 calon berbanding 95.99 peratus atau 5,838 calon pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, katanya jumlah calon yang mendapat lima prinsipal berkurangan kepada 1,248 orang atau 24.53 peratus berbanding 1,310 orang atau 24.45 peratus pada 2011.
Di PAHANG, pencapaian kelulusan penuh keputusan STPM di negeri itu meningkat sebanyak 2.69 peratus iaitu 96.51 peratus berbanding 93.82 peratus tahun 2011. Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Rosdi Ismail berkata, peratus pencapaian lulus daripada 2,435 pelajar itu berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh 94.44 peratus. Bagi PNGK yang mendapat keputusan tertinggi iaitu 4.0 turut meningkat daripada 11 calon pada 2011 kepada 30 calon tahun lepas, katanya. Katanya, prestasi keseluruhan sekolah menunjukkan 20 buah sekolah daripada 49 buah sekolah berjaya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala 26 buah sekolah lagi berjaya mencapai kelulusan penuh melebihi 90 peratus.
Di KEDAH, sebanyak 11 sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan dengan lima daripadanya adalah sekolah kategori luar bandar manakala enam sekolah kategori bandar. Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat dalam kenyataannya berkata 22 daripada 4,214 calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan dua daripadanya mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil.
Di JOHOR, sebanyak 34 sekolah mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 30 sekolah pada 2011 dengan seramai 5,127 daripada 5,311 (96.54 peratus) calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal. Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Mohd Nor A. Ghani berkata sekolah yang mencapai peratus keputusan tertinggi di peringkat empat dan lima prinsipal adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91 peratus); SMK Jementah, Segamat (86.67 peratus); dan SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Baharu (79.49 peratus). Peratusan calon yang memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.49 pada 2012 adalah seramai 983 orang (18.51 peratus) berbanding 908 orang (19.06 peratus) pada 2011., katanya dan menurutnya 16 sekolah mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh.
Sementara di MELAKA, calon lulus penuh STPM 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.17 peratus dengan jumlah 1,198 pelajar berbanding 1,151 pada 2011. Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 644 calon berjaya memperoleh empat prinsipal iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. "Dari segi kualiti, seramai 14 calon memperoleh PNGK 4.0 dan 425 calon memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas," katanya kepada pemberita. Katanya secara keseluruhan, keputusan STPM di negeri itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun daripada segi gred purata negeri (GNP) iaitu meningkat 0.05 mata kepada 2.5 berbanding 2.45 pada 2011.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran negeri Kalsom Khalid berkata seramai 13 orang pelajar, tiga daripada jurusan sains dan bakinya jurusan sastera memperoleh PNGK 4.00. "Terdapat seramai 1,394 orang calon atau 94.9 peratus lulus sekurang- kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal. Daripada jumlah itu sebanyak 23 lulus 5 prinsipal, 679 lulus 4 prinsipal, 318 lulus 3 prinsipal, 215 lulus 2 prinsipal dan 159 lulus 1 prinsipal," katanya dalam kenyataan.
Di SARAWAK, seramai 5,216 orang atau 92.82 peratus calon sekolah layak mendapat sijil STPM 2012 berbanding 5,210 calon (90.96 peratus) pada 2011. Seramai 6,017 calon telah menduduki peperiksaan tersebut di Sarawak pada 2012 iaitu 5,668 orang atau 94.20 peratus merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 349 orang (5.80 peratus) adalah calon persendirian.
Namun begitu, di PULAU PINANG, keputusan STPM menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus. Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata Pulau Pinang mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.71 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.15 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).
Di PERAK, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Muhamat Roli Hassan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus menunjukkan penurunan sebanyak 0.80 peratus berbanding pada tahun 2011 iaitu 95.81 peratus. "Sebanyak 4,376 calon daripada jumlah keseluruhan 4,606 merekodkan kelulusan penuh. Daripada jumlah itu sebanyak 188 calon lulus lima prinsipal serta 2,152 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita. Beliau berkata sebanyak 51 pelajar memperoleh PNGK 4.0 dengan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun 2011 manakala sebanyak 1,171 pelajar mendapat PNGK antara 3.0 dan 4.0.
Di SABAH, seramai 5,376 orang calon atau 89.41 peratus mendapat lulus penuh berbanding 88.76 peratus pada tahun 2011. Ketika mengumumkan keputusan STPM Sabah di SMK Tansau di sini, Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip berkata ini menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus negeri meningkat sebanyak 0.65 peratus. Beliau berkata antara sekolah mencapai 100 peratus lulus ialah SMK Likas Kota Kinabalu, SMJK Tiong Hua, Sandakan, SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sekolah Tinggi Kota Agamam Mohd Ali, Ranau, SMK Kunak, Kunak, SM.Sung Siew, Sandakan, SMK Merotai, Tawau, SMK Segaliud, Sandakan dan SMK Weston, Beaufort. Sementara itu, Nurul Jannah Sulaiman dari SMK Perempuan Likas muncul pelajar terbaik negeri Sabah bagi Aliran Kemanusiaan dengan PNGK 4.00 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek dan Gred A- bagi Pengajian Perniagaan. Hong Joway dari SM La Salle muncul pelajar terbaik Aliran Sains dengan PNGK 3.92 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek.
No comments:
Post a Comment