Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)
Sorry...semua niat dan hasrat perlu ditangguh atau dibuang terus.
Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak akan layan usaha memecahbelahkan UMNO – sama ada daripada UMNO Terengganu sendiri atau pembangkang khususnya PAS.
Kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, mesej untuk mereka amat jelas – letakkan soal parti sebagai keutamaan dan bergerak bersama-sama dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
Ini kerana jika masih ada polemik berkisar kepada isu-isu bahagian dan puak, usaha bergerak ke hadapan tidak akan dapat direalisasikan.
Bagi, Hishamuddin: "Mereka (Idris dan Ahmad Said) pemimpin berjiwa besar - mungkin kami bertiga ini kalau tidak dilaga-lagakan dan kami sendiri tidak benarkan dipengaruhi pihak-pihak lain, saya yakin ia boleh menjadi satu realiti.
"Perlu dibina, dipulih dan dijauhkan syak wasangka. Dengan kehadiran saya dan bimbingan daripada pucuk pimpinan, saya rasa itu dapat bantu mengeratkan semula hubungan antara mereka berdua."
Cerita 2 R (Rosli dan Roslan) digugurkan tidak penting lagi. Ini kerana sebab pengguguran bukan kerana ada kaitan dengan tuduhan rasuah MRR2. Itu bukan alasan teras.
Cuma Datuk Zuber Embong digugurkan kenapa? Tidak berkesan? Zuber sendiri yang nampaknya ‘memujuk hati sendiri’ mengatakan mungkin beliau tidak berkesan.
Apapun dengan tegas Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata: "Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said."
Yang penting bagi Hisham ialah mereka yang dilantik perlu pikul tanggungjawab. “(Sebaliknya) mereka yang lepaskan jawatan tak semestinya tugas dan tangungjawab mereka lebih mudah kerana mereka ada tanggungjawab yang harus dipikul.” Kata Hishamuddin.
Semalam di Putrajaya, ketiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno negeri Terengganu menyatakan kesediaan mereka memikul perjuangan yang lebih besar demi masa depan Umno dan rakyat di negeri itu.
Berikutan itu Hishammuddin yakin bahawa apa yang dibincangkan hari ini tidak berkisar kepada kepentingan kumpulan tertentu.
"Saya boleh beri keyakinan kepada mereka bahawa ketiga-tiga sayap hari ini telah bertekad untuk bersama-sama memikul perjuangan yang lebih besar.
Ketiga-tiga sayap ini juga telah berikrar kepada saya bahawa pertimbangan yang menjadi keutamaan kepada mereka ialah demi masa depan perhubungan umno negeri Terengganu dan rakyat Terengganu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga sayap berkenaan di pejabatnya di Putrajaya.
Namun, segala usaha itu banyak bergantung kepada cara mengatur langkah ke hadapan dan pengisian program yang akan dilaksanakan.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata dengan mengetuai negeri itu pada hari ini, mungkin antara tugasnya ialah untuk merapatkan hubungan antara Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh kerana beliau tidak ada masalah bekerja dengan mereka.
"Saya sedar apa yang berlaku sebelum ini di Terengganu menuntut saya sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menjadi "jambatan" kepada menteri besar dan bekas menteri besar, dengan syarat mereka meletakkan soal parti sebagai keutamaan dan bergerak bersama-sama dengan saya.
Bagaimanapun, katanya jika masih wujud polemik berkisar kepada isu-isu bahagian dan puak tertentu bermakna usaha untuk bergerak ke hadapan tidak akan dapat direalisasikan.
Hishammuddin tidak bermain politik yang menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya berkata ia mendapat 'restu' semua pemimpin Umno bahagian.
Dengan kata lain perlantikan olehnya terhadap dua muka baru – Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha UMNO Negeri dan , Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said pula dilantik Bendahari menggantikan Senator Datuk Roslan Awang Chik.
Jawatan Ketua Penerangan kembali kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek .
Pelantikan pemimpin lain bagi mengisi beberapa jawatan penting akan dibuat selepas ini.
Apa orang lain mahu kata atau membuat andaian tidak penting. Pada sidang media selepas pengumuman itu, tiada lagi soalan daripada pemberita mengenai pertelingkahan atau usaha menyingkirkan Menteri Besar.
Apakah maknanya ini? Hishamuddin member isyarat jelas, Terengganu tidak boleh ada perpecahan.
Seperti 1Malaysia – 1Terengganu - UMNO didahulukan, Menang pilihan raya diutamakan.
Jelas dan nyata, UMNO Terengganu berusaha mengatasi kemelut secara sebaik-baiknya.
Juga jelas bahawa Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang. Lagi pun apa salah beliau? Apakah beliau pernah sabotaj parti, ‘menderhaka kepada Sultan’ atau terbabit dengan rasuah?
Semua Ketua UMNO Bahagian kecuali Besut, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat pertama yang berlangsung sejam itu.
Ketidakhadiran bekas menteri besar itu yang diibaratkan sebagai petanda bahawa isu Umno negeri masih jauh daripada penyelesaian tidak benar sama sekali.
Hishammuddin menjelaskan Idris berada di London sewaktu mesyuarat dan tidak sempat hadir walaupun menyatakan untuk pulang. "Saya lihat tidak ada isu dengan ketidakhadiran Idris itu. Bila perjumpaan dibuat sebelum ini, ia melibatkan saya, Ahmad Said dan Idris.
"Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini," katanya.
Mesyuarat pertama itu membincangkan beberapa agenda termasuk hala tuju dan program yang bakal diadakan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Yang penting, UMNO Terengganu perlu memastikan barisan kepimpinan yang ada dirapatkan selaras dengan kehendak ahli dan rakyat di peringkat akar umbi yang mahukan jentera parti dimantapkan khusus dalam menghadapi cabaran mendatang.
Bagi Hishamuddin tiada lain atau tiada kompromi lagi hanya perpaduan sesama sendiri perlu kembali utuh kerana apa yang penting sekarang ialah perpaduan dan kekuatan parti dan bukannya memperjuangkan kepentingan individu tertentu.
No comments:
Post a Comment