Tuesday, June 30, 2009

20,000 hektar ladang sawit untuk keluarga miskin tegar

Macam-macam usaha dilakukan oleh Kerajaan Terengganu untuk membantu rakyat, khususnya kumpulan miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang amat prihatin terhadap kumpulan ini serta ibu tunggal, kini memperkenalkan program khusus untuk mereka.

Kerajaan negeri mengambil langkah tegas dengan membuka ladang sawit seluas 20,000 hektar yang akan diagihkan kepada keluarga miskin tegar dan ibu tunggal di negeri ini.

Ia akan memberi peluang kepada mereka membina penghidupan baru dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menteri Besar berkata, menerusi penyertaan dalam ladang sawit itu, 6,000 keluarga miskin tegar dan ibu tunggal yang sudah dikenal pasti akan dapat menikmati hidup yang lebih baik dengan berbekalkan pendapatan purata sekitar RM750 sebulan.

Katanya, sehingga kini seluas 8,000 hektar ladang sawit sudah diusahakan, termasuk 5,600 hektar di daerah Dungun yang sedang dalam proses penanaman.

"Kerajaan negeri mengenal pasti kawasan seluas 2,400 hektar di daerah Setiu untuk dijadikan ladang sawit rakyat dan tanah berkenaan kini dalam proses ditebus guna."

Beliau menyatakan perkara itu selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Felcra Bhd, Lubuk Dalam 4, Mukim Kijal di Kemaman, kelmarin.

Menerusi projek itu, kerajaan negeri yang bekerjasama dengan Felcra, akan membuka ladang sawit rakyat seluas 648 hektar yang mana sejumlah 300 peserta terdiri daripada golongan miskin tegar dan ibu tunggal dijangka akan mendapat manfaat daripadanya.

"Felcra akan membuka dan mengusahakan ladang kelapa sawit ini termasuk menebus guna tanah, membina tali air dan beberapa kerja berkaitan dengan kos sebanyak RM11.5 juta dan seramai 300 golongan ini akan menjadi peserta.

"Lebih 80 peratus kawasan tanah yang diluluskan ini adalah kawasan berpaya dan Felcra akan menanggung kos ditebus guna termasuk membina tali air dan sistem perparitan. Kika jangka hasil sawitnya dijangka lebih baik berbanding kawasan ladang berbukit,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan daripada ladang itu akan diagihkan secara sama rata kepada semua peserta selepas ditolak kos pengurusan.

“Selepas tiga tahun, setiap peserta ladang ini yang yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan ibu tunggal dijangka memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM750 sebulan bagi menyara keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment