Sunday, June 21, 2009

H1N1: 7 kes baru dicatatkan - menjangkau 49



MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengedarkan risalah mengenai penyakit influenza A (H1N1) kepada orang ramai di Pasar Batu 11 Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. Beliau turut mengesahkan tujuh lagi kes influenza A (H1N1) di negara ini, tiga daripadanya melibatkan pelajar sekolah, menjadikan kes bagi penyakit itu 49 kes setakat ini. --fotoBERNAMA




Tujuh lagi kes Influenza A (H1N1) disahkan dalam negara, tiga daripadanya melibatkan pelajar sekolah, menjadikan jumlah kes bagi penyakit itu menjangkau 49 kes setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seorang daripada pelajar sekolah yang terlibat adalah pelajar tahun lima, yang merupakan rakan kelas pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Jalan Davidson yang dilaporkan semalam menghidap penyakit itu selepas melawat Melbourne.

"Kes nombor 36 semalam yang balik dari Melbourne, menjangkiti pelajar di dalam kelasnya di SRJK Cina Jalan Davidson. Ini menunjukkan bahawa sekolah itu (kini) ada dua kes," katanya selepas menyebarkan risalah mengenai penyakit itu kepada peniaga dan pengunjung Pasar Batu 11 Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, kelas yang melibatkan dua pelajar SRJK Cina Jalan Davidson itu iaitu kelas 5(I) kini dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan.

"Dua lagi pelajar yang terlibat ialah pelajar tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2 Petaling Jaya dan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Shah Alam," kata Liow dan menambah pegawai Kementerian Kesihatan akan memasuki sekolah-sekolah berkenaan untuk memastikan ia dalam keadaan terkawal.

"Kami juga akan cadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk menutup sekolah-sekolah itu sementara waktu," katanya.
Liow berkata, jika dipersetujui semua pihak, sekolah terbabit akan ditutup sekurang-kurang seminggu.

No comments:

Post a Comment